PENGHASILAN komik dengan kaedah  digital sepenuhnya menggunakan tablet Wacom.
PENGHASILAN komik dengan kaedah digital sepenuhnya menggunakan tablet Wacom.
ANTARA komik empat panel yang  dimuat naik di Instagram.
ANTARA komik empat panel yang dimuat naik di Instagram.
AZHIM bercita-cita menerbitkan  komik dan menjadi artis komik sepenuh masa selepas tamat pengajian.
AZHIM bercita-cita menerbitkan komik dan menjadi artis komik sepenuh masa selepas tamat pengajian.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Gemar membaca komik sejak kecil mendorong Mohd Azhim Maksum, 25, menghasilkan karya tersendiri yang dimuat naik di Instagram.

Mula berkarya sejak awal tahun lalu, Azhim yang mempunyai lebih 20,000 pengikut berkata, belum terlambat baginya untuk mengejar impian dan cita-cita.

Lulusan diploma dalam bidang kejuruteraan ini juga nekad menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam rekaan digital bagi mengejar cita-citanya itu.

“Saya sangat suka baca komik dan antara komik kegemaran saya ialah Dragon Ball.

“Pada mulanya saya tidak terfikir untuk hasilkan komik dan menjadi pelukis kerana sejak sekolah lagi saya sudah belajar bidang kejuruteraan.

“Minat itu kian berkembang selepas hasilkan komik pertama awal tahun lalu dan dari situ saya nekad untuk kejar impian menjadi seorang artis komik,” kata anak sulung daripada tiga beradik ini.

Anak kelahiran Sabah ini turut berkata, ibu bapa serta keluarga turut menyokong minatnya dan menggalakkan untuk melakukan yang terbaik dalam bidang yang diminati.

Kata Azhim lagi, walaupun mula menghasilkan karya komik sebagai hobi dan mengisi masa lapang, dia tidak menyangka mendapat maklum balas positif daripada pembaca.

“Waktu pertama kali muat naik komik yang saya hasilkan secara manual itu hanya sekadar suka-suka dan tidak mengharap apa-apa. Saya bermula daripada kosong ‘follower’ di Instagram.

“Tapi beberapa bulan selepas itu komik saya mula mendapat perhatian dan sudah ramai yang mula ikut dan nantikan hasil karya saya.

“Saya juga banyak perbaiki hasil karya dari semasa ke semasa dan turut mendengar komen pembaca untuk terus memperbaiki karya dan menyuntik semangat,” katanya.

Azhim yang kini menggunakan tablet Wacom dan kaedah digital sepenuhnya untuk menghasilkan komik dalam perancangan menerbitkan komik sendiri.

“Saya dalam usaha untuk hasilkan komik yang ‘legend’ seperti Dragon Ball tapi kini sedang tumpu untuk kumpul pengikut di media sosial terlebih dulu dan masih dalam proses menajamkan lagi kemahiran.

“Saya sarankan kepada Generasi Y untuk terus mengejar minat kerana anda dapat hasilkan yang terbaik sekiranya mempunyai kesungguhan dalam sesuatu yang dilakukan. Jangan risau untuk ambil risiko dan jangan bimbang dengan kritikan, yang penting hasilkan dulu dan buktikan kepada orang ramai,” katanya.

INFO

• NAMA: Mohd Azhim Maksum

• UMUR: 25 tahun

• PENDIDIKAN: Pelajar Ijazah Sarjana Muda Rekaan Digital di Universiti Terbuka Malaysia

• INSTAGRAM: @catakserukin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 12:30 PM