KEBANYAKAN karya komik web kini dihasilkan menerusi teknik dan medium digital.
KEBANYAKAN karya komik web kini dihasilkan menerusi teknik dan medium digital.
ZAMALIFAH menunjukkan lapan komik yang pernah diterbitkan selepas mendapat sambutan di laman web berkenaan.
ZAMALIFAH menunjukkan lapan komik yang pernah diterbitkan selepas mendapat sambutan di laman web berkenaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Bagi penggemar komik, istilah ‘webcomic’ atau komik web bukan perkara asing kerana ia sudah mula diterbitkan selari dengan perkembangan teknologi dan Internet.

Sesuai dengan namanya, komik web adalah komik yang biasanya dihasilkan menerusi lukisan komik digital dan dimuat naik di laman web atau media sosial bagi memudahkan peminat komik membacanya.

Di Malaysia, komik web belum meluas namun penulis berpeluang menemu bual pengasas laman web komik atas talian ‘www.matkomik.com’ atau pelopor komuniti komik web tempatan bagi mengetahui lebih lanjut fenomena komik web.

Menurut Muhammad Zamalifah Jamil, 29 atau lebih dikenali sebagai ‘artzam’, inspirasi dan idea untuk membuka laman matkomik tercetus apabila karya yang dihasilkannya sendiri ditolak syarikat penerbitan.

“Segalanya bermula apabila saya mula menghasilkan komik namun apabila dihantar ke syarikat penerbitan mereka tolak atas alasan penceritaan atau idea yang ingin tidak disampaikan tidak selari dengan tema atau apa mereka inginkan.

“Saya lihat ramai pelukis komik lain turut menghadapi masalah sama dan dari situ mula terfikir untuk mencari medium alternatif mudah namun masih boleh sampai kepada pembaca yang ramai,” katanya.

Sehingga kini, 440 komik sudah diterbitkan di laman web berkenaan dan purata bilangan pembaca setiap bulan 50,000 hingga 70,000.

Seramai 250 pelukis komik pernah menghantar karya di matkomik dan semua karya yang diletakkan di laman itu boleh dibaca secara percuma.

“Saya terima apa juga jenis komik yang dihantar dengan tema dan genre mengikut pelukis sendiri kerana saya faham ada antara mereka yang baru pertama kali hasilkan komik.

“Namun ada beberapa garis panduan ditetapkan seperti bahasa dan isu yang diketengahkan serta isu sensitif tidak boleh diselitkan dalam komik tapi dari segi garisan mahupun perincian lukisan saya tidak tekankan kerana ada antara mereka pelukis amatur,” katanya.

Zamalifah berkata, rata-rata pelukis komik menghasilkan karya mereka menggunakan kaedah digital kerana ia lebih cepat, mudah dan menjimatkan kos.

“Kalau dulu mungkin ramai lebih selesa hasilkan karya menggunakan pen dan kertas namun mengikut arus teknologi semasa kebanyakan pelukis lebih senang hasilkan karya menggunakan tab dan pen digital yang mudah didapati di pasaran sekarang.

“Tambahan lagi, ia menjimatkan kerana tidak perlu menggunakan kertas dan jika berlaku kesilapan boleh dipadamkan saja malah lebih cepat siap berbanding menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

Penulis berpendapat, matkomik bukan sekadar laman web untuk pembaca mengakses kepada komik web semata namun dari sudut lain ia juga adalah platform kepada pelukis komik baru mempromosikan karya mereka sebelum ia dapat diterbitkan.

Menurut Zamalifah, lapan karya komik web yang dimasukkan di matkomik sudah diterbitkan dan semua karya berkenaan dipilih mengikut bilangan pembaca yang tinggi.

“Kita pernah terbitkan lapan komik web dengan bilangan pembaca terbanyak antaranya komik bertajuk Sobar hasil karya pelukis ‘mfr studio’ dan wang hasil penerbitan ini sebanyak 70 peratus diberikan kepada pelukis,” katanya.

Matkomik turut mengadakan pertandingan tahunan diberi nama ‘Cabaran Komik Online Malaysia’ dan setiap tahun mengikut tema tertentu dan jumlah penyertaan kian meningkat.

INFO:

Web: www.matkomik.com

Instagram: @matkomik

FB: www.facebook.com/matkomik

Blog: blog.matkomik.com

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 2:31 PM