NAZIRAH biasanya mengambil masa dua jam sehari untuk menyiapkan satu komik.
NAZIRAH biasanya mengambil masa dua jam sehari untuk menyiapkan satu komik.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Sekali pandang pembaca pasti jatuh cinta melihat komik strip hasil sentuhan gadis yang berasal dari Alor Setar ini.

Bukan saja gaya lukisan yang lembut dan santai, pengisian yang ringan dan menghiburkan turut menarik perhatian ramai.

Memiliki lebih 38,000 pengikut di Instagram, komik strip @zyraroxx hasil kerja tangan Siti Nazirah Mohd Jusoh, 29, ini ternyata mempunyai keunikan tersendiri.

Menurut Nazirah, komik strip itu terhasil didorong hobinya yang gemar melukis.

“Semuanya bermula daripada minat melukis. Kemudian secara berperingkat saya mula melukis komik dari satu panel ke dua panel dan seterusnya menjadi empat panel (Yonkoma).

“Yonkoma sesuai untuk dimuat naik di Instagram kerana saiznya empat segi tepat namun, sekarang sejak Instagram memperkenalkan ciri ‘multiple size’ dan ‘multiple upload,’ ramai artis lebih gemar memecahkan panel menjadi beberapa keping.

“Saya mula memuat naik komik pada awal tahun lalu dengan jumlah pengikut seramai 4,000. Saya tak menjangka mendapat 38,000 pengikut di Instagram dan Facebook seperti hari ini namun mereka pemangkin semangat untuk saya terus berkarya,” katanya.

Anak bongsu daripada sembilan beradik ini berkata, komik bergenre ‘slice of life’ yang dihasilkannya itu adalah gabungan teknik lukisan manga dan komik Barat.

NAZIRAH mula menghasilkan komik strip di Instagram didorong hobinya yang gemar melukis.
NAZIRAH mula menghasilkan komik strip di Instagram didorong hobinya yang gemar melukis.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang ini menambah, walaupun penghasilan komik strip di media sosial sekadar hobi namun ia memberi kepuasan.

“Penghasilan komik ini lebih kepada hobi namun ia memberi kepuasan terutama apabila satu-satu komik dapat disiapkan dan mendapat sambutan pembaca,” katanya yang turut gemar membaca komik bahasa Inggeris sebagai hobi dan memiliki lebih 200 novel.

Nazirah berkata, inspirasi melukis komik diambil daripada lukisan artis komik tempatan dan kehidupan peribadinya sendiri.

“Inspirasi gaya lukisan komik saya turut dipengaruhi pelbagai artis komik tempatan lain seperti Ben Osman dan Daygoon.

“Pengisian komik pula lazimnya diinspirasikan daripada perihal kehidupan seharian dan isu semasa serta imaginasi sendiri,“ katanya.

Menghasilkan komik menerusi medium digital, gadis muda ini mengakui teknik itu lebih mudah dan cepat.

“Banyak kelebihan melukis secara digital antara kelebihan utama yang saya rasa dipersetujui semua artis adalah medium digital membolehkan kami memadam (undo) sebarang kesilapan ketika proses melukis selain lebih menjimatkan masa.

Nazirah peruntukkan sekitar dua jam sehari untuk satu komik dan kebiasaannya dia luangkan masa pada hujung minggu.

“Saya cuba hasilkan komik secara konsisten sekurang-kurangnya dua komik seminggu namun semuanya berbalik pada keadaan sekiranya saya sibuk bekerja atau tiada ‘mood’,” katanya.

Artis muda ini turut berkongsi kenangan manis sepanjang pengalamannya menghasilkan komik di media sosial.

“Antara kenangan manis yang saya tidak dapat lupakan adalah apabila menerima banyak ‘fan art’ daripada pengikut cilik di Instagram yang sukakan watak komik saya.

“Kritikan membina yang saya masih ingat adalah saranan supaya ‘lembutkan’ watak kerana watak sebelum ini kelihatan kaku. Pada mulanya saya sangat terkesan dengan komen negatif apabila ramai yang salah faham dengan komik saya tular di media sosial.

“Lama-kelamaan, saya hanya mengabaikan komen negatif dan hanya menumpukan kepada komen positif yang sentiasa menyokong serta mendorong saya,“ katanya.

GAYA lukisan diisnpirasikan daripada gabungan lukisan manga dan komik Barat.
GAYA lukisan diisnpirasikan daripada gabungan lukisan manga dan komik Barat.

Nazirah berpendapat, perkembangan komik digital pada hari ini sangat positif dan peluang bagi anak muda tempatan untuk berkembang sangat cerah.

“Sekiranya generasi Y memanfaatkan peluang dan ruang yang ada untuk mengetengahkan karya mereka, tidak mustahil mereka mampu setanding dengan artis komik digital terkemuka antarabangsa seperti Sarah‘s Scribbles dan Lunarbaboon.

“Nasihat saya, elak hasilkan komik yang berunsur negatif dan berbaur lucah kerana komik di media sosial mempunyai pelbagai lapisan pembaca serta sebagai pelukis, ia adalah tanggungjawab sosial kita,” katanya.

Nazirah turut berkongsi tip bagi generasi Y di luar sana yang ingin cuba menghasilkan komik strip.

“Sedikit tip bagi yang baru mencuba untuk melukis komik adalah dengan merangka dulu jalan cerita yang perlu diisi untuk setiap panel dan gunakan rujukan untuk gaya setiap watak supaya lukisan tampak lebih ‘hidup’.

“Pentingkan kekemasan terutama jika melukis secara manual dan jangan berhenti praktis untuk menambah baik kemahiran,“ katanya.

Kini Nazirah dalam proses menyiapkan tiga buku komik kolaborasi bersama komik artis yang lain dan dijangka menerbitkan buku sendiri dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 5:33 AM