ANTARA karya 'photo manipulation' atau doodle di atas foto.
ANTARA karya 'photo manipulation' atau doodle di atas foto.
ANTARA doodle yang dihasilkan Izwan di atas medium yang lebih besar seperti dinding kontena.
ANTARA doodle yang dihasilkan Izwan di atas medium yang lebih besar seperti dinding kontena.
PENGHASILAN karya doodle adalah medium bagi Izwan mengekspresikan idea yang terlintas secara spontan.
PENGHASILAN karya doodle adalah medium bagi Izwan mengekspresikan idea yang terlintas secara spontan.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Penulis tertarik melihat karya ‘contengan’ atau ‘doodle’ di atas foto hasil kerja tangan anak muda, Mohamad Izwan Abd Ghafor, 28, yang dimuat naik menerusi akaun Instagramnya.

Karya doodle yang dikenali sebagai ‘photo manipulation’ itu menggabungkan lukisan doodle di atas foto minimalis yang menampilkan figura manusia dengan latar belakang polos.

Menurut Izwan, minat menghasilkan karya doodle atas foto bermula sejak beberapa tahun lalu selepas melihat karya artis doodle terkemuka dari luar negara.

“Saya gemar hasilkan doodle atas foto kerana mahu melihat doodle saya hidup. Saya mahu segala karakter doodle yang saya lukis itu seperti hidup dalam dunia realiti.

“Saya banyak lihat karya artis terkemuka Brian Donnelly (KAWS) sebagai rujukan dan dari situ mula terdorong untuk hasilkan doodle atas foto dengan gaya tersendiri,” katanya yang kini menduduki pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang animasi.

Menggemari kedua-dua medium manual dan digital, Izwan turut menghasilkan doodle yang menampilkan karakter dengan identiti tersendiri.

“Selain ‘photo manipulation’ saya juga ketengahkan konsep doodle yang menggabungkan karakter, prop dan latar belakang dalam sesebuah karya.

“Saya suka ketengahkan karakter kerana dengan itu saya dapat tampilkan budaya kita dengan menyelitkan unsur seperti tanjak yang cukup sinonim dengan tradisi Melayu,” katanya.

Katanya, minat menghasil­kan doodle bermula sejak kecil kerana dari awal lagi dia gemar melukis.

“Dulu ketika masih kecil saya suka melukis. Minat itu mungkin didorong bapa saya yang juga seorang pereka dalaman sering buat buku lakaran DIY dan beri kepada saya.

“Daripada minat melukis itu saya mula ceburi gaya lukisan conteng apabila meningkat dewasa kerana saya suka cara dan hasil lukisan seperti itu,” katanya.

Menurut Izwan, dia juga gemar hasilkan doodle kerana minat pada gabungan dua warna hitam dan putih selain dapat ekspresikan dirinya yang sebenar.

“Ketika dalam proses hasil­kan ‘doodle’ ia adalah proses mengekspresikan diri dan me­ngeluarkan idea yang tersimpan dalam kepala secara spontan.

“Selain itu, saya suka hasil­kan doodle kerana ia menampil­kan dua warna iaitu hitam dan putih,” katanya.

Bercita-cita menjadikan bidang seni sebagai kerjaya sepenuh masa, Izwan bercadang membuka studio dan mengem­bangkan bakatnya dalam bidang itu.

“Saya menanam impian untuk membuka studio pada masa akan datang tapi kini ingin tumpukan pada pengajian terlebih dahulu.

“Selepas itu, saya ingin ceburi bidang penghasilan arca pula dengan menghasilkan karakter yang saya lukis dalam bentuk doodle ke dalam bentuk arca,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 1:36 PM