AZWAN.
AZWAN.
KOMIK yang dilukis tangan kemudian diwarnakan dengan teknik digital menggunakan perisian komputer.
KOMIK yang dilukis tangan kemudian diwarnakan dengan teknik digital menggunakan perisian komputer.
KOMIK Ronyok.
KOMIK Ronyok.
WATAK istimewa ‘manusia berkepala kucing’ dalam Komik Ronyok.
WATAK istimewa ‘manusia berkepala kucing’ dalam Komik Ronyok.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Salah satu sebab mengapa penulis jatuh cinta pada komik web kerana pengisian yang ringkas dan padat serta penceritaan yang ringan dan menghiburkan.

Antara komik web yang sering menjadi perhatian adalah Komik Ronyok kerana bukan saja ia mengetengahkan isu semasa, malah hampir setiap komik menyampaikan cerita yang berkait dengan orang ramai.

Berkesempatan berhubung dengan pelukis Komik Ronyok, penulis akhirnya dapat menemu bual individu di sebalik komik yang mencuit hati ramai pembaca itu.

Bermula sebagai hobi, Mohd Zainorazwan Zainal, 21, atau lebih dikenali Azwan, dia pada awalnya tidak menyangka karya yang dihasilkan untuk mengisi masa lapang itu menjadi perhatian ramai.

“Semuanya bermula pada penghujung 2015. Ketika itu saya sedang bercuti pada minggu ulang kaji dan hanya rakan-rakan saja menjadi pembaca.

“Mendapat idea penceritaan mengikut pengalaman sendiri serta orang di sekeliling, selepas hasilkan beberapa komik rakan saya minta saya hasilkan lebih banyak lagi,” katanya.

Menurut Azwan, selepas bilangan pembaca kian meningkat, setiap hari dia komited menghasilkan satu komik empat panel dan muat naik komik berkenaan di Facebook dan Instagram.

“Apabila permintaan pembaca kian meningkat, saya akan pastikan setiap hari saya hasilkan satu komik. Setiap komik yang saya hasilkan bukan saya menghiburkan hati pembaca juga turut memberi kepuasan kepada saya.

“Tapi kerana bergelar pelajar dan kian sibuk, kini saya hanya dapat hasilkan tiga atau empat komik dalam seminggu namun saya tidak akan berhenti menjadi pelukis komik kerana ia minat saya,” katanya.

Menghasilkan komik dengan kombinasi kaedah konvensional dan digital, Azwan akui dia mahu terus mengikut arus semasa dan bercadang untuk menggunakan teknik digital sepenuhnya pada masa akan datang.

“Saya hasilkan komik ini gabungan dua teknik iaitu melukis dengan kaedah konvensional dengan menggunakan pen dan kertas kemudian hasil lukisan saya imbas masuk ke dalam komputer dan menggunakan perisian komputer untuk mewarna serta beri kemasan terakhir untuk komik itu.

“Tapi pada masa akan datang, saya bercadang untuk hasilkan komik web menggunakan teknik digital sepenuhnya kerana bukan saja mudah, malah mempercepatkan proses,” katanya.

Bakal bergelar guru, Azwan akui menghasilkan komik web adalah kerja separuh masa saja, namun dia tidak akan berhenti kerana dia mahu pembaca terus membaca karyanya.

“Komik yang saya hasilkan bukanlah sesuatu untuk dipertandingkan, namun saya tidak akan berhenti berkarya.

“Walaupun sibuk saya tetap hasilkan komik web dan lebih penting, saya mahu pembaca terus membaca karya yang saya muat naik di media sosial secara percuma,” katanya.

Mempunyai pengikut di Instagram hampir 140,000 dan pembaca di Facebook lebih 117,000, kompilasi Komik Ronyok juga pernah diterbitkan syarikat Maple Komik, awal tahun ini.

INFO

- Nama: Mohd Zainorazwan Zainal

- Usia: 21 tahun

- Asal: Kuching, Sarawak

- Pendidikan: Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu

- FB: Komik Ronyok

- Instagram: @azwanjjai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 9:05 AM