PENDUDUK Iraq yang melarikan diri dari Mosul berkumpul di sebuah kem pelarian sementara di Khazer.  - Reuters
PENDUDUK Iraq yang melarikan diri dari Mosul berkumpul di sebuah kem pelarian sementara di Khazer. - Reuters

Mosul (Iraq): Daish tidak lagi membayar gaji anggotanya di sini ketika pertempuran semakin meningkat, kata penduduk.

Anggota kumpulan militan itu biasanya menerima gaji bulanan kira-kira AS$350 (RM1,600), tetapi mereka dipercayai tidak dibayar sejak beberapa minggu lalu selepas kumpulan pengganas itu semakin kehabisan wang.

Daish menghadapi krisis kewangan apabila infrastruktur minyak yang dikuasainya menjadi sasaran serangan udara tentera bersekutu.

Anggota kumpulan itu turut dilaporkan beralih kepada rasuah dengan menyeludup keluar keluarga yang ingin meninggalkan Mosul dengan bayaran serendah 25,000 dinar (RM95), kata seorang penduduk yang menulis mengenai kehidupan bandar itu dengan menggunakan nama pena Mosul Eye.

Daish menguasai Mosul sejak musim panas 2014.

Sementara itu, pasukan elit tentera Iraq semakin mara terhadap kedudukan kumpulan itu di timur Mosul selepas melancarkan serangan waktu malam pertama, kata jurucakapnya, semalam.

Fasa kedua kempen hampir 12 minggu untuk mengusir Daish dari kubu kuat terakhirnya di Iraq itu bermula Khamis minggu lalu.

Serangan untuk menawan semula wilayah itu adalah operasi ketenteraan yang terbesar di Iraq sejak kempen diketuai Amerika Syarikat untuk menggulingkan Saddam Hussein pada 2003. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:11 AM