GABUNGAN gambar menunjukkan Masjid al-Nuri dari udara sebelum dan selepas dimusnahkan Daish.  - AFP
GABUNGAN gambar menunjukkan Masjid al-Nuri dari udara sebelum dan selepas dimusnahkan Daish. - AFP

Mosul (Iraq): Militan Daish meletupkan masjid tempat pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi mengisytiharkan pemerintahan khalifah, tiga tahun lalu, susulan tentera Iraq semakin hampir mengusir kumpulan berkenaan dari bandar itu.

Daish meletupkan Masjid al-Nuri yang terkenal dengan menaranya yang condong, kata tentera Iraq dalam satu kenyataan semalam.

Tiga tahun lalu, pada 4 Julai 2014, masjid berusia ratusan tahun itu menjadi lokasi Abu Bakr mengumumkan pemerintahan khalifah merentasi beberapa kawasan di Iraq serta Syria. Itu juga kali pertama dia mendedahkan identitinya secara terbuka.

Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi berkata dalam satu kenyataan di laman webnya: “Tindakan meletupkan menara al-Hadba dan Masjid al-Nuri secara tidak langsung menunjukkan mereka mengaku kalah.”

Menara itu digelar ‘al-Hadba’ atau ‘si bongkok’ dan dikibarkan bendera hitam Daish sejak Jun 2014.

Sementara itu, agensi berita Daish, Amaq menuduh pesawat pejuang Amerika Syarikat (AS) sebenarnya bertanggungjawab memusnahkan masjid berkenaan. Dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya AS.

“Kami tidak menyerang kawasan itu,” kata jurucakap pakatan tentera diketuai AS, Kolonel Tentera Udara John Dorrian.

Pejabat media tentera Iraq mengedarkan gambar diambil dari udara yang menunjukkan masjid serta menara berkenaan musnah sepenuhnya, dikelilingi rumah-rumah di kota lama Mosul, kawasan bersejarah tempat militan berkenaan kini berlindung.

Video disebarkan di media sosial turut menunjukkan menara itu runtuh dengan suara seorang wanita didengar di latar belakang menangis meratapi kehancuran menara itu.

Masjid itu dimusnahkan ketika unit elit Perkhidmatan Antikeganasan (CTS) sampai dalam lingkungan 50 meter darinya, kata kenyataan tentera Iraq.

Komander kanan CTS di Mosul, Leftenan Jeneral Abdul Ghani al-Assadi berkata: “Ini tidak akan menghentikan kami daripada mengusir mereka - tidak, membunuh, bukan sekadar mengusir - dari kota lama.”

Kota lama itu kawasan terakhir dikawal Daish di Mosul. Kerajaan Iraq sebelum ini mengharapkan masjid berkenaan ditawan semula menjelang Aidilfitri, hujung minggu ini kerana akan menandakan kejatuhan kumpulan militan itu di Iraq. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 6:21 AM