SEBUAH kereta musnah dalam serangan kedua di Baghdad, semalam. - Agensi
SEBUAH kereta musnah dalam serangan kedua di Baghdad, semalam. - Agensi
Agensi

Baghdad: Dua serangan bom menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan mencederakan lebih 100 yang lain di ibu negara Iraq ini semalam.

Dalam satu serangan itu, seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan yang sarat berisi bahan letupan di sebuah kedai ais krim popular kira-kira tengah malam (5 pagi waktu Malaysia), menyebabkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 75 cedera.

Serangan dilakukan beberapa hari selepas Ramadan bermula yang menyaksikan penduduk Iraq sering membeli-belah dan berlibur lewat malam selepas berpuasa siang hari.

Daish mengeluarkan kenyataan mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu dan berkata, pengebom itu warga Iraq yang menyasarkan masyarakat Syiah.

Gambar yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kesan kemusnahan akibat letupan itu yang meranapkan kawasan sekitar kedai ais krim al-Faqma di daerah Karrada, tengah Baghdad.

Dalam serangan kedua pula, sebuah bom kereta meletup berhampiran satu daripada jambatan utama Baghdad pagi semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan mencederakan sekurang-kurangnya 35 orang.

Kedua-dua serangan itu berlaku ketika tentera Iraq berusaha menawan kawasan terakhir yang dikuasai Daish di Mosul, bandar yang pernah menjadi kubu kuat kumpulan itu.

Tentera Iraq melancarkan serangan untuk menawan semula bandar itu sejak tujuh bulan lalu dan sehingga ini berjaya menguasai keseluruhan timur dan sebahagian besar barat bandar itu.

Kejiranan di Bandar Lama Mosul - Al-Shifaa, Al-Saha dan Al-Zinjili - kini menjadi sasaran serangan besar-besaran askar, polis dan pasukan khas Iraq.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 10:53 AM