Nursyahirah Marzuki


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 846.2 kilogram (kg) gading gajah bernilai lebih RM7 juta, Ahad lalu.

Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, hasil maklumat orang ramai, pihaknya menghantar satu pasukan penguatkuasaan untuk membuat pemeriksaan.

"Operasi pemeriksaan di gudang kargo udara Zon Bebas KLIA dijalankan dan berjaya merampas 17 bungkusan kargo udara untuk pemeriksaan lanjut kerana disyaki membawa barangan larangan import.

"Semua kotak itu tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kinshasa, Republik Demokratik Kongo dan transit di Lapangan Terbang Ataturk, Turki, sebelum tiba di KLIA," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati gading gajah yang dirampas itu dicatatkan sebagai sampel kayu dan alamat yang digunakan adalah palsu.

"Difahamkan 254 gading itu memang dihantar ke negara ini dan bukan menjadikan Malaysia sebagai transit seperti kes terdahulu.

"Kita juga sudah melakukan siasatan di Cheras, Kuala Lumpur iaitu lokasi alamat yang ditulis pada kotak terbabit, namun tiada tangkapan dibuat," katanya.

Menurutnya, gading gajah adalah barang larangan import mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1976 iaitu mengimport barang larangan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali nilai atau dipenjarakan 20 kali ganda nilai barangan di sita atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 5:17 PM
Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang  (gambar kecil) pada sidang media rampasan lebih 250 gading gajah bernilai lebih RM7 juta di KLIA, Ahad lalu. - Foto  MOHD FADLI HAMZAH
Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang (gambar kecil) pada sidang media rampasan lebih 250 gading gajah bernilai lebih RM7 juta di KLIA, Ahad lalu. - Foto  MOHD FADLI HAMZAH