Chik Omar  menunjukkan gading gajah Afrika yang dirampas dalam cubaan  menyeludup di Kompleks Kastam KLIA, semalam.
Chik Omar menunjukkan gading gajah Afrika yang dirampas dalam cubaan menyeludup di Kompleks Kastam KLIA, semalam.
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Gading gajah seberat 1,001 kilogram (kg) bernilai lebih RM10 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menjadikannya rampasan terbesar tahun ini.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, rampasan itu dibuat hasil risikan dan pemantauan berkala oleh anggota penguat kuasa di gudang kargo udara, Zon Bebas KLIA pada 21 Julai lalu.

Katanya, dalam operasi itu, pihaknya merampas 21 bungkusan kargo udara yang disyaki membawa barangan larangan import untuk pemeriksaaan lanjut.

“Bungkusan terbabit tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kinshasa, Republik Demokratik Kongo dan transit di Lapangan Terbang Atatuk, Istanbul Turki sebelum tiba di KLIA.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan terbabit mengandungi 60 gading dipercayai diperoleh dari 30 gajah bersamaan 1,001 kg dengan nilai anggaran RM10 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo, KLIA di sini, semalam.

Chik Omar berkata, siasatan mendapati gading gajah yang dirampas itu diikrar sebagai tanah liat dibakar dan sampel kayu dan penerima terbabit masing-masing beralamat di Selangor dan Johor.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan siasatan mendapati alamat terbabit palsu dan tidak wujud, dan siasatan diteruskan bagi mengesan penerima gading gajah terbabit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa lesen import

Chik Omar berkata, gading gajah barangan disenaraikan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Perkara 1, Jadual Ketiga Bahagian III yang memerlukan permit import di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 dan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Yang Terancam (CITES).

“Kami percaya gading gajah itu tidak diedarkan untuk pasaran tempatan, tetapi menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum dibawa ke beberapa negara jiran termasuk Thailand, China dan Vietnam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mematahkan cubaan menyeludup Methamphetamine (syabu) seberat 530 gram dan daun khat seberat 35.15 kg masing-masing pada 22 Julai dan 14 Julai lalu.

Katanya, dadah Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM42,400 yang diperoleh melalui operasi pemeriksaan bungkusan yang tiba di Pusat Mel dan Kurier (PMK) pada 22 Julai lalu.

“Bungkusan ini tiba dari Lagos, Nigeria pada 13 Julai lalu dan dihantar kepada penerima di Kuala Lumpur, namun kami gagal menghubungi penerima dan dibawa balik ke pejabat.

“Hasil pemeriksaan rapi mendapati ada makanan kering dan serbuk putih yang disyaki dadah,” katanya.

Sementara itu, daun khat bernilai RM17,575 yang dirampas pada 14 Julai lalu di PMK dimuatkan dalam empat bungkusan yang tiba dari Addis Abba, Euthopia dan diikrar sebagai daun teh.

“Daun khat ini mengandungi Cathinone yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sehubungan itu, pengimportan daun khat adalah dilarang secara mutlak dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Chik Omar berkata, dari Januari hingga Julai lalu, empat kes penyeludupan daun khat dilumpuhkan di pintu masuk KLIA yang membabitkan tiga suspek.

Katanya, ketiga-tiga suspek dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori jika didapati bersalah.

“Sehingga Julai lalu, kami merampas 64.75kg daun khat dengan nilai anggaran RM36,571,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 6:42 AM