Nursyahirah Marzuki


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup tanduk badak sumbu yang bernilai lebih RM13 juta ke negara ini.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, tanduk berkenaan tiba Jumaat lalu melalui penerbangan Qatar Airways dari Mozambique, Afrika dan transit di Doha sebelum ke KLIA.

"Tanduk itu dikesan selepas kami menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA dan merampas sebuah kotak kayu yang disyaki membawa barang larangan import.

"Hasil pemeriksaan rapi menemui sebanyak 18 tanduk badak sumbu seberat 51.445 kilogram (kg) dengan nilai lebih RM13 juta.

"Ini adalah pertama kali kastam KLIA merampas tanduk badak sumbu yang cuba diseludup ke dalam negara," katanya pada sidang media di Ibu Kompleks Kastam KLIA, di sini, hari ini.

Katanya, kotak berkenaan tiba di KLIA jam 5.40 petang dan dialamatkan ke sebuah premis di Nilai, Negeri Sembilan.

"Siasatan awal menunjukkan tanduk badak sumbu itu dicatatkan sebagai 'Obra De Arte' di dalam surat muatan udara.

"Bagaimanapun, semua dokumentasi termasuk ejen dan alamat yang digunakan adalah palsu dan kita masih melakukan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 12:10 PM