Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menggagalkan cubaan menyeludup gading gajah dan sisik tenggiling bernilai RM4.14 juta dalam dua serbuan berasingan, Ahad lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM Datuk Mohd Pudzi Man berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1.30 tengah hari di Gudang Kargo Udara Zon Perdagangan Bebas KLIA, pihaknya merampas dua kotak yang mengandungi gading gajah.

“Kotak berkenaan diikrarkan sebagai barang makanan, namun pemeriksaan lanjut mendapati ia mengandungi 23 gading gajah dengan berat 75.74 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM275,000.

“Kotak berkenaan tiba melalui penerbangan Etihad Airways dari Lagos, Nigeria ke Abu Dhabi seterusnya ke KLIA,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, semalam.

Mohd Pudzi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengesan pengimport atau pemilik gading gajah itu memandangkan maklumat pengimportan pada surat muatan udara adalah palsu.

“Ia menggunakan alamat pengimport dan syarikat yang tidak wujud,” katanya.

Dalam kes kedua, beliau berkata, pihaknya menemui enam bungkusan guni yang mengandungi sisik tenggiling 300.90kg bernilai RM3.86 juta di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

“Bungkusan guni yang disyaki membawa barang larangan import itu tiba jam 8.30 malam melalui penerbangan Ethiopian Airlines dari Congo ke KLIA sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan rapi dijalankan menemui sisik tenggiling itu, malah pada surat muatan udara dicatatkan sebagai ‘fish maw’ dan alamat penerima digunakan juga palsu,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Pudzi berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barangan larangan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda minimum 10 kali nilai atau maksimum 20 kali ganda daripada nilai barangan yang disita atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:22 AM
MOHD Pudzi (tengah)  menunjukkan gading gajah dan sisik tenggiling yang dirampas di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.
MOHD Pudzi (tengah) menunjukkan gading gajah dan sisik tenggiling yang dirampas di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.