Nursyahirah Marzuki


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan menyeludup 712 kilogram (kg) sisik tenggiling dengan nilai rampasan kira-kira RM9.18 juta dalam dua kes berasingan, pada 1 dan 2 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim berkata, Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemui sisik tenggiling berkenaan selepas menjalankan pemeriksaan di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA.

"Bagi kes pertama, lapan guni sisik tenggiling tiba melalui penerbangan dari Accra, Ghana dan transit di Dubai sebelum ditahan kerana disyaki membawa barang larangan import.

"Hasil pemeriksaan rapi ke atas guni berkenaan menemui kira-kira 408 kg sisik tenggiling bernilai RM5.26 juta yang diisytihar sebagai produk umum di dalam surat muatan udara (Air Waybil)," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di Sepang, hari ini.

Paddy berkata, bagi kes kedua, pihaknya merampas 10 guni yang tiba pada 2 Mei lalu melalui penerbangan dari Kinshasa, Congo ke Nairobi, Kenya dan kemudian transit di Dubai sebelum ke KLIA.

"Melalui pemeriksaan yang dilakukan pada 3 Mei lalu, kita menemui 304 kg sisik tenggiling yang bernilai RM 3.92 juta yang diisytihar sebagai herba kering di dalam surat muatan udara.

"Kedua-dua kes berkenaan menggunakan alamat palsu yang akan dihantar ke Nilai, Negeri Sembilan namun, sehingga kini tiada tangkapan dibuat dan kita masih menjalankan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 1:13 PM
PADDY (dua kanan) menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas. FOTO Noor Atiqah Sulaiman
PADDY (dua kanan) menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas. FOTO Noor Atiqah Sulaiman