FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 111 kilogram (kg) gading gajah dengan anggaran kira-kira RM946,689 dalam bungkusan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Ogos lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, rampasan dibuat selepas pemeriksaan dijalankan ke atas enam bungkusan kargo udara yang disyaki membawa barangan larangan import.

"Bungkusan berkenaan tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Entebbe, Uganda dan transit di Istanbul, Turki seterusnya ke KLIA.

"Siasatan awal menunjukkan gading itu diikrar sebagai bijirin dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan pengimport atau pemilik gading gajah yang terbabit mengikut kesalahan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan larangan tanpa lesen import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Perkara 1, Jadual Ketiga Bahagian III," katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, beliau berkata, untuk tahun ini sehingga semalam, jumlah kertas siasatan membabitkan kes spesies terjadual iaitu kura-kura jenis Black Pond, gading gajah dan semi produk gading gajah yang diperolehi JKDM KLIA adalah sebanyak sembilan kes dengan nilai anggaran RM10 juta.

Pada masa sama, Chik Omar berkata, barang kes membabitkan 1174 kg gading gajah dan semi produk gading gajah bernilai kira-kira RM10.19 juta bagi lapan kes tahun lalu sehingga tahun ini selesai diserahkan kepada Jabatan Perhilitan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 11:19 AM