Datuk Ramli Sarip ketika sidang media Konsert Semalam di Malaya Sweet Charity di Hotel Ideas Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Datuk Ramli Sarip ketika sidang media Konsert Semalam di Malaya Sweet Charity di Hotel Ideas Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Band rock legenda, Sweet Charity kembali mengimbau nostalgia dengan Konsert Semalam Di Malaya di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari tahun depan dengan tawaran tiket VIP berharga RM15,000.

Uniknya, tiket VIP Box yang ditawarkan itu adalah tiket termahal yang pernah dijual dan tidak pernah lagi ditawarkan oleh mana-mana penganjur sebelum ini.

Menjelaskan rasional harga tiket setinggi itu, Pengurus Besar Malaysia Shipowner's Association (MASA) yang juga penganjur, Mohd Helmi Zaharudin berkata, harga yang ditawarkan itu difokuskan kepada syarikat korporat.

"Jika diikutkan, ia tidaklah semahal yang didengar kerana setiap 'kotak' tempat duduk itu adalah untuk lapan orang dan penonton juga diasingkan daripada orang ramai.

"Di situ kita dapat melihat sebenarnya ia ada nilai tambahan tersendiri yang bakal diperoleh penonton yang membeli VIP Box ini," katanya.

Ditanya risiko harga yang ditawarkan ini, Helmi berkata, setiap keputusan sudah dibincangkan dengan teliti.

"Kita juga ada tawarkan perjanjian pakej, malah ada nilai tambah yang dicadangkan tetapi masih belum dimuktamadkan seperti tempat duduk tambahan.

"Namun, kita sudah mendapat sokongan daripada beberapa syarikat yang sudah menunjukkan minat untuk membeli tempat duduk berkenaan.

Menurutnya, pihak mereka masih dalam usaha memasarkan VIP Box itu bagi memastikan pihak mereka mampu memperoleh jumlah penonton yang disasarkan.

Mengulas lanjut, Helmi berkata walaupun pihaknya pertama kali menjalankan acara muzik yang lain daripada kebiasaan acara yang pernah dijalankan, namun mereka sudah tidak asing dalam menguruskan acara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:41 PM