SUSPEK dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu kes penipuan umrah. FOTO Pix Syafiq Ambak
SUSPEK dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu kes penipuan umrah. FOTO Pix Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki yang juga Penolong Pengarah badan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes penipuan umrah membabitkan kerugian sebanyak RM14.2 juta.

Ia menjadikan tiga individu termasuk pengarah eksekutif dan akauntan NGO itu yang sebelum ini direman minggu lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 29 tahun dari Besut itu dikeluarkan Majistret Abdul Hayyi Salim untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Suspek ditahan polis selepas menyerah diri di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, semalam.

Sementara itu, perintah reman terhadap pengarah eksekutif dan akauntan NGO yang ditahan sebelum ini turut disambung selama empat hari bermula hari ini.

Lanjutan reman terhadap suspek masing-masing berusia 28 tahun dari Kampung Pasir Tawar, Jabi dan Kampung Padang Lengkuas, Jertih dipohon pihak polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap lebih 200 laporan diterima polis.

Sebelum ini, akhbar melaporkan setiap peserta hanya perlu membayar RM3,000 daripada pakej umrah bernilai RM6,990 manakala selebihnya akan dibiayai penaja bagi menarik perhatian peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 4:33 PM