myMetro

Kuala Lumpur: FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) akan melaksanakan pelan strategik baharunya, Pelan Strategik 2017-2020 tidak lama lagi yang menyediakan hala tuju lebih jelas dan kaedah untuk memacu pertumbuhan lebih mapan di seluruh organisasi kumpulan syarikat berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Arshad berkata, selepas mengharungi tahun yang mencabar, FGV yakin muncul sebagai organisasi lebih kukuh dan efisien hasil daripada penambahbaikan prestasi perladangan dan harga komoditi yang tinggi.

Menurutnya, pihaknya meletakkan keyakinan tinggi terhadap pasaran komoditi yang lebih baik selaras dengan paras inventori minyak sawit lebih rendah, permintaan eksport yang meningkat, pemberhentian sementara perladangan baharu di Indonesia selain pemulihan harga minyak mentah.

Beliau berkata, pada tahun ini, strategi FGV akan membabitkan tiga teras utama iaitu rasionalisasi perniagaan bagi menjadikannya lebih cekap, memacu ke arah keberkesanan operasi dan pertumbuhan luar yang selektif tanpa kompromi terhadap tadbir urus yang baik dan telus.

Katanya, rasionalisasi secara menyeluruh dalam kumpulan akan menjadikannya lebih esfisien dan kompetitif pada tahun ini menerusi penstrukturan, pelupusan atau kerjasama dengan rakan lain bagi aset yang menyebabkan keuntungannya merosot.

Selain itu, beliau berkata, FGV juga menyusun semula struktur organisasi dan model perniagaannya bagi mencapai keseragaman dan kebolehtangungjawaban, kebergantungan terhadap ketidaktentuan komoditi dan mata wang serta memantau lebih mendalam perniagaan syarikat sekutunya.

Menurutnya, bagi bahagian hiliran, FGV akan membangunkan penerokaan pasaran sama ada secara organik, ejen pemasaran atau kerjasama strategik dengan penggiat tempatan.

Katanya, FGV yang beroperasi dengan kos pentadbiran cukup tinggi sebelum ini berjaya mengurangkannya lebih RM100 juta, tertakluk kepada pengauditan.

“Kos pentadbiran yang lebih cekap kini menjadi budaya dan rejim pengurusan dalam FGV, sekali gus dapat melaksanakan lebih banyak perkara dengan kos lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui pelan strategik itu, FGV akan membuat semakan menyeluruh terhadap terma kerjasama dengan rakan strategik bagi memberi nilai lebih baik kepada syarikat.

“Selain itu, kriteria pemilihan untuk sebarang kerjasama pada masa depan diketatkan dengan mekanisme sama-sama menang perlu diperjelas sebelum sebarang perjanjian kerjasama dimeterai,” katanya.

Mengenai prestasi pada 2016, Zakaria berkata, tahun itu dilihat positif apabila harga saham meningkat daripada paras terendah RM1.33 kepada paras tertinggi RM2.50 sebelum stabil pada nilai RM1.55 pada penghujung tahun.

Beliau berkata, Lembaga Pengarah juga meluluskan beberapa polisi dalaman bagi memastikan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih tinggi dalam kalangan kakitangan kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, katanya, FGV mahu memastikan sekurang-kurangnya 16 kompleks kilangnya menerima pensijilan RSPO (Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari) pada tahun ini, sekali gus meneroka pasaran yang memerlukan standard berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 7:25 AM