MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berpandangan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia perlu mempunyai platform yang adil untuk berunding mengenai dakwaan dan tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerajaan memandang serius beberapa insiden melarang kemasukan eksport produk agrikomoditi negara oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, berkaitan isu yang membabitkan FGV Holdings Bhd (FGV), pihak FGV sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian selaras dengan hak asasi manusia.

"KPPK dimaklumkan bahawa FGV menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha membatalkan 'withold release order' (WRO) sejak petisyen dikemukakan," katanya pada kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin berkata, AS adalah pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia dan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara malah ia tidak boleh dinafikan.

"Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke AS bernilai RM14.10 bilion.

"Namun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia mempertimbangkan untuk melakukan tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu terbabit," katanya.

Pada 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian sudah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia.

Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.

Kajian ini sudah dibentangkan dan diterima oleh kabinet.

"Ia akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS sebagai satu daripada inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan," katanya.

Langkah itu diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

"Kementerian menyarankan pihak industri sawit, termasuk FGV, untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 4:37 PM