AZHAR ketika sidang media di Akademi FGV, Menara Chulan, Jalan Conlay. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
AZHAR ketika sidang media di Akademi FGV, Menara Chulan, Jalan Conlay. FOTO: Nurul Syazana Rose Razman
Bisnes HM


FGV Holdings Bhd merangka Pelan Perniagaan 2019-2021 (BP21), sebagai tambahan kepada Pelan Transformasinya bagi memandu syarikat perladangan itu dalam melaksanakan aktiviti nilai tambah untuk memaksimumkan pulangan kepada pemegang sahamnya.

Pelan perniagaan yang bertemakan “Stop the Decline and Drive Sustainable Growth” itu dipacu oleh lima prinsip utama iaitu penggunaan sumber yang lebih baik bagi menjana pulangan tinggi terhadap aset; peningkatan portfolio bagi menyeimbangkan struktur yang tidak cekap dan memaksimumkan nilai menerusi rantaian nilai perniagaan bersepadu.

Selain itu, prinsip yang turut dipegang adalah membuat keputusan perniagaan yang bertanggungjawab dan dipacu secara komersial serta mengoptimumkan potensi modal insan dalam memacu pertumbuhan.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya mengenalpasti empat Teras Strategik untuk dilaksanakan merentasi perniagaan teras dan fungsi sokongan.

“Ia merangkumi kemajuan operasi bagi memaksimumkan produktiviti, meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos; penembusan produk dan pasaran bagi mengoptimumkan nilai perladangannya, gula dan rantaian nilai logistik.

“Selain itu, ia turut meliputi bidang pertumbuhan baharu bagi mengenalpasti peluang pertumbuhan strategik untuk peningkatan prestasi jangka panjang dan kewangan serta pembangunan kapasiti bagi meningkatkan kedudukan kewangan dan kemampuan modal insan dalam memacu perniagaan ke hadapan,” katanya dalam Laporan Tahunan FGV 2018 yang dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, dengan BP21, pihaknya menyasarkan untuk mengenalpasti dan menyelesaikan kelemahan yang mengekang pertumbuhan FGV dan mengambil pengajaran untuk melangkah ke hadapan.

“Kami mahu mengembalikan FGV ke dalam landasan bagi memastikan ia mapan dan merealisasikan nilai pemegang saham kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 6:34 PM