KEADAAN banjir di Kampung Bukit Sireh akibat hujan lebat dan angin kencang, semalam. FOTO Fathil Asri
KEADAAN banjir di Kampung Bukit Sireh akibat hujan lebat dan angin kencang, semalam. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,823 orang daripada 474 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 1,872 orang daripada 524 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, ia berikutan sebuah pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Legeh di Jeli membabitkan 49 mangsa ditutup lewat malam tadi.

"Mangsa yang ditempatkan di SK Legeh dibenarkan pulang selepas air mulai surut di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, setakat ini, 839 mangsa daripada 238 keluarga masih berada di 10 pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai, 666 orang mangsa (167 keluarga) di empat pusat pemindahan Jeli dan 318 mangsa (69 keluarga) ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Tanah Merah.

Beliau berkata, pengiraan jumlah mangsa berdepan sedikit kesukaran selepas terdapat mangsa yang mendaftar dua kali selain pulang ke kediaman selepas berdaftar sebagai mangsa banjir.

Katanya jalan utama menghubungkan Kuala Krai dan Kota Bharu di Sungai Durian yang ditutup kepada kenderaan ringan petang semalam mula dibuka pagi ini apabila air mulai surut di kawasan berkenaan.

Sementara itu, tiga sungai utama di Kelantan menunjukkan penurunan paras air pada 9 pagi ini berbanding 9 malam tadi, menurut laman Web kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Sungai Galas di Dabong menurun kepada 36.40 meter berbanding 36.63 meter 9 malam tadi. Paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 38 meter. Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 31.98 berbanding 32.57 meter (paras amaran 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pada paras 24.82 berbanding 24.84 meter (paras amaran 25 meter).

Bagaimanapun, Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat kepada 8.83 meter berbanding 7.72 meter (paras amaran 9 meter) bagi tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 10:33 AM