SEORANG penduduk berjalan meredah banjir untuk menghantar makanan kepada jirannya selepas kediamannya mereka ditenggalami air di Kampung Matang, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
SEORANG penduduk berjalan meredah banjir untuk menghantar makanan kepada jirannya selepas kediamannya mereka ditenggalami air di Kampung Matang, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Enam daerah di Terengganu terjejas susulan banjir gelombang ketiga yang bermula semalam, dengan 2,111 mangsa terpaksa berpindah.

Setakat 8 pagi, kesemua mangsa daripada 612 keluarga itu ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ia membabitkan 21 PPS di Dungun, 10 di Hulu Terengganu, lapan di Setiu , empat di Kemaman serta masing-masing satu di Marang dan Besut.

Ia menunjukkan peningkatan, berbanding hanya 1,659 mangsa daripada 479 keluarga di 38 PPS, malam tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 1,149 orang daripada 299 keluarga berada di 21 PPS di Dungun.

Di Hulu Terengganu, 10 PPS diaktifkan bagi menempatkan 393 penduduk daripada 148 keluarga.

Seramai 349 penduduk di Kemaman pula terpaksa dipindahkan ke empat PPS di daerah berkenaan.

Di daerah Setiu pula, 189 mangsa daripada 48 keluarga terjejas ditempatkan di lapan PPS.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Marang tidak menunjukkan sebarang perubahan apabila kekal 12 orang daripada tiga keluarga yang berlindung di Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Di Besut, PPS Surau Perumahan Kampung Cina yang dibuka tengah malam tadi itu kini menempatkan 19 mangsa daripada empat keluarga.

Ketika ini, hujan di beberapa kawasan di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 8:49 AM