Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Ada pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan melindungi kesalahan pemandu lori di seluruh negara baru-baru ini pernah ditahan di Pulau Pinang pada 2019.

Menurut sumber, daripada 45 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan di enam negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Selangor itu ditahan kerana kes sama.

"Ada pegawai JPJ yang ditahan di Selangor juga pernah bertugas di utara sebelum bertukar ke negeri itu.

"Setakat ini, tiada sitaan aset sebaliknya hanya menyita telefon bimbit dan kad mesin juruwang automatik (ATM)," katanya kepada Harian Metro.

Sumber berkata, siasatan setakat ini mendapati syarikat yang membayar wang rasuah kepada pegawai dan anggota JPJ terbabit adalah dari syarikat berlainan dalam operasi pada 2019.

"Setakat ini, berdasarkan rekod transaksi dalam akaun daripada pemberi kepada semua pegawai JPJ termasuk proksi didapati mereka ini sudah menerima RM1.64 juta.

"Amaun yang diterima mereka itu berbeza dan siasatan kali ini mendapati di pegawai dan anggota JPJ di Kedah antara yang tertinggi menerima bayaran sehingga ada yang mencecah RM40,000," katanya.

Menurutnya, kes ini bukan baharu tetapi sudah dilakukan sejak 2017 lagi dan sebab itu dalam penahanan kali ini ada yang pernah ditahan dahulu dan ditahan sekali lagi hasil siasatan terbaharu.

Difahamkan, seramai 52 individu membabitkan proksi dan pegawai JPJ di enam negeri sudah ditahan dalam operasi khas berhubung kes terbabit, setakat ini.

Pada 2019, lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang ditahan selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah untuk melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya, khususnya yang membawa lebih muatan sekitar negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:06 PM