KARLOVIC ledak 13,000 ace. FOTO Agensi
KARLOVIC ledak 13,000 ace. FOTO Agensi
Reuters

London: Jaguh tenis Croatia Ivo Karlovic mengumumkan persaraan pada usia 44 tahun hari ini sekali gus menutup tirai karier gemilangnya yang menyaksikan dia meledak 13,000 ace ke atas pemain lawan.

Dengan ketinggian 2.11 meter, servis kencang Karlovic dan cara permainan sukar dijangka mendatangkan masalah kepada beberapa nama besar dalam sukan itu dan dia menang dua daripada tiga perlawanannya menentang pemain nombor satu dunia Novak Djokovic.

Beraksi kali terakhir di Indian Wells pada 2021 dan dengan usianya genap 45 tahun bulan ini, Karlovic mengesahkan persaraan kepada peminat di media sosial.

Karlovic beralih kepada profesional pada 2000 dan mencipta nama di Grand Slam tiga tahun kemudian selepas menewaskan juara bertahan Lleyton Hewitt di Wimbledon.

Keputusan terbaiknya di Grand Slam turut tercipta di Wimbledon pada 2009 apabila dia mara ke suku akhir.

Karlovic turut diingati oleh peminat dengan daya ketahanannya yang panjang dalam sukan itu manakala dengan 13,728 servis ace dia muncul pemain kedua di belakang jaguh Amerika Syarikat John Isner yang meledak 14,470 ace.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 10:23 PM