MITI raih banyak kejayaan hasil inisiatifnya pada 2017.
MITI raih banyak kejayaan hasil inisiatifnya pada 2017.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang 2017 meraih banyak kejayaan menerusi inisiatifnya dalam menjadikan Malaysia destinasi pelaburan terpilih serta menjadi antara negara pedagang berdaya saing di dunia.

Usaha terbabit dibuktikan melalui program dilaksanakan bersama agensi di bawah MITI seperti Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang dikelolakan SME Corporation Malaysia (SME Corp), pengukuhan eksport dan import oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta e-dagang.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya yakin tumpuan menyeluruh terhadap segmen keusahawanan, Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dan perdagangan sebagai agenda pembangunan ekonomi negara adalah amat penting.

Beliau berkata, sektor keusahawanan berkembang pesat sebagai penyumbang pertumbuhan kepada negara seperti e-dagang dan Zon Dagangan Bebas Digital (DFTZ) yang mempunyai potensi tinggi.

“Selain keusahawanan dan perdagangan, kita di MITI memberi tumpuan khusus kepada Industri 4.0, aeroangkasa, automotif serta beberapa bahagian industri yang mempunyai manfaat kepada negara,” katanya.

Pada 2017, MITI bersama menteri perdagangan dari negara yang terbabit dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mencapai kesepakatan untuk meneruskan perjanjian perdagangan itu yang kini dikenal sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Sementara itu, Mustapa berkata, Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan perdagangannya pada Oktober 2017 apabila mencatatkan peningkatan 19.8 peratus kepada RM154.3 bilion berbanding tempoh bulan sama tahun sebelumnya.

Menurutnya, eksport negara mencatatkan peningkatan 18.9 peratus kepada RM82.4 bilion pada tempoh sama manakala import merekodkan pertumbuhan 20.9 peratus kepada RM71.9 bilion berdasarkan perbandingan tahun ke tahun.

“Jumlah perdagangan keseluruhan negara RM1.47 trilion bagi 10 bulan pertama pada 2017, peningkatan 21.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 9:10 AM