Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Kuantan: Usaha memindahkan 84 pelancong tempatan dan asing dari pusat pemindahan SM Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Tahan ke bandar Jerantut dengan menggunakan helikopter ditangguhkan sehingga esok akibat cuaca buruk.

Jurucakap bomba berkata, ia susulan hujan berterusan dan kabus tebal.

Menurutnya, tiga helikopter termasuk milik Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan bomba disediakan bagi tujuan itu.

Semalam, semua 84 pelancong dan 18 kakitangan Mutiara Resort Taman Negara diselamatkan dengan bot secara berperingkat mulai 12. 30 tengah hari dan ditempatkan di SM Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Mereka terperangkap lebih 48 jam selepas Sungai Tembeling melimpah dan menenggelamkan jeti Kuala Tahan, sementara resort itu dinaiki air kira-kira 1 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:01 PM