Hamzah Osman


Langkawi: Muhammad Ammar Adanan pilih untuk asyik dengan `video game’ bagi menghilangkan gementar dan pedih berkhatan.

Itu antara gelagat sempena Program 'Sunathon' anjuran Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) di Sekolah Kebangsaan Ulu Melaka (SKUM), di sini, hari ini.

Muhammad Ammar, 8, yang juga murid tahun dua SKUM hanya muka bersahaja, sesekali senyum dan tidak menangis ketika proses berkhatan dilakukan petugas perubatan.

"Saya tumpu pada permainan dalam telefon ibu ni...ok la tak sakit pun," kata Ammar yang ditemani ibunya, Mimi Rohana Amjan, 49, dan bapanya, Adanan long, 49, sepanjang proses berkhatan.

Muhammad Ammar adalah antara 40 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang menyertai program anjuran bersama (CUCMS) dan penduduk Kampung Ulu Melaka.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad.

Pengarah program itu, Isyraq Abdul Razak, berkata, kanak-kanak itu dikhatankan oleh 30 petugas terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan dari CUCMS.

Katanya, sebelum acara, peserta yang berpakaian baju Melayu dimandikan beramai-ramai dengan semburan air oleh anggota bomba Pejabat Bomba dan Penyelamat Daerah Langkawi.

“Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang program ini termasuk pameran dan pemeriksaan kesihatan serta pertolongan asas kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 1:44 PM