Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN negeri Kedah menafikan program perubatan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) akan dipindah milik kepada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) susulan program menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan penuh kepada KUIN untuk menawarkan program perubatan melalui perkongsian pintar yang diwujudkan bersama CUCMS.

Menurutnya, isu yang tular di media sosial dengan menyatakan Kuliah Perubatan dan Sains Kesihatan akan dipindah milik kepada CUCMS melalui perkongsian untung 70:30, campur tangan pihak luar dan penuntut tahun tiga serta empat dipindahkan ke CUCMS adalah tidak benar.

“Malah dakwaan Program Perubatan yang mempunyai elemen Islamik akan dihapuskan adalah satu kenyataan fitnah untuk merosakkan imej KUIN dan Kuliah Perubatan.

“Perkara ini perlu dihentikan serta merta, malah perhimpunan oleh waris penuntut yang akan diadakan untuk membantah pemindahan itu dan program perubatan juga diminta untuk dihentikan.

“Ia ia tidak benar sama sekali,” katanya pada kenyataan hari ini.

Tajul Urus berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memperkasakan penawaran program perubatan KUIN melalui kerjasama perkongsian pintar dengan mana-mana institusi pengajian tinggi dan institusi lain termasuk CUCMS.

“MoU bersama CUCMS itu membolehkan kedua-dua belah pihak bekerjasama dalam perkongsian pintar untuk tujuan latihan klinikal kepada penuntut tahun tiga dan empat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:05 PM