Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan (dua dari kiri) melakukan semburan air menggunakan hos bomba kepada sebahagian 30 kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Perdana 4.0 di Hospital Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan (dua dari kiri) melakukan semburan air menggunakan hos bomba kepada sebahagian 30 kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Perdana 4.0 di Hospital Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


TIGA puluh kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Perdana 4.0 anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kuah (PKDUNK), Langkawi, hari ini.

Program bermula 9 pagi itu membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun dianjurkan bersama Hospital Langkawi (HL).

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan di HL, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah HL, Dr Md Razis Ramli.

Kanak-kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air yang disediakan pasukan bomba dan penyelamat sambil disaksikan lebih 100 tetamu sebelum dikhatan.

Nor Saidi berkata, sesi berkhatan percuma itu dianjurkan bagi membantu kanak-kanak dan waris yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama.

"Sebelum ini, PKDUNK ada membuat hebahan kepada waris yang berminat menerusi media sosial bagi menyertai program ini sebelum kita menyenaraikan 30 kanak-kanak termasuk anak yatim dari Rumah Anak Yatim Anjung Kasih, di sini.

"Bagi menampung penyertaan yang ramai ini, pihak HL menyediakan enam petugas perubatan di samping dibantu jururawat bagi melancarkan program," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Haziq Syamil Abd Halim, lapan tahun, berkata, dia tidak pernah takut untuk menjalani proses berkhatan, sebaliknya dia menganggap dirinya sudah dewasa selepas selesai menempuh pengalaman istimewa itu.

"Tak sakit pun, rasa macam digigit semut saja. Saya sendiri yang nak khatan dan tiada sesiapa yang paksa. Langsung tak takut kerana selepas khatan, saya akan jadi dewasa, itulah yang saya mahu.

"Lagi pun berkhatan beramai-ramai lebih seronok kerana saya berkongsi pengalaman manis ini bersama rakan lain," katanya ketika ditemui, di sini.

Muhammad Al Amin Shukri, lapan tahun, berkata, dia juga tidak takut untuk berkhatan bagi memastikan anggota badannya sentiasa bersih.

"Acara ini juga memberikan satu pengalaman baru kepada saya dan perasaan bimbang hilang apabila melihat ramai rakan sebaya turut berkhatan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi ahli bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 11:10 AM