PELAJAR perubatan menjalankan pemeriksaan perubatan kepada penduduk.
PELAJAR perubatan menjalankan pemeriksaan perubatan kepada penduduk.
SERAMAI 30 pelajar perubatan CUCMS raih pengalaman berharga di Aceh.
SERAMAI 30 pelajar perubatan CUCMS raih pengalaman berharga di Aceh.
Zaitie Satibi


Tsunami yang membadai Banda Aceh, Indonesia, hampir 12 tahun lalu bukan saja meragut kira-kira 221,000 nyawa, malah impak daripada kejadian itu Banda Aceh mengalami pembangunan perlahan daripada pelbagai segi seperti infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Atas dasar ini, seramai 30 pelajar perubatan tahun keempat dari Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS) termasuk pensyarah mereka melakukan kerja amal, Program Kesedaran Perubatan Holistik CUCMS-Acheh 2016 (CHARMS) di kawasan yang terjejas baru-baru ini.

Program itu bertujuan membentuk dan meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang komunikasi, klinikal dan pengurusan apabila CHARMS menyokong komuniti dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Program itu juga memperkenalkan pelajar kepada dunia sebenar sebagai seorang profesional dalam bidang penjagaan kesihatan, di samping memberi pendedahan kepada mereka untuk memahami peranan seorang pengamal perubatan dalam masyarakat.

Timba pengalaman di lapangan

Timbalan Presiden Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa CUCMS, Pofesor Dr Abdul Latiff Mohamed berkata, program itu penting dan berharga apabila ia memberi pelajar perspektif holistik yang baru untuk melihat masyarakat.

Melalui pengalaman amali sedemikian pelajar akan belajar apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pengamal penjagaan kesihatan.

“Kami mewujudkan kesedaran kepada penduduk dan pada masa sama mendidik mereka untuk mengelakkan penyakit dengan menjaga alam sekitar dan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

“Pelajar CUCMS juga melakukan pemeriksaan kesihatan, pergigian termasuk memberi latihan asas sokongan hayat untuk orang awam bagi menghadapi kecemasan di masa depan.

“Selain pemeriksaan kesihatan, pelajar juga menawarkan perkhidmatan berkhatan kepada 30 kanak-kanak dan ia mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa yang turut membantu menenangkan anak-anak mereka.

“Secara keseluruhannya, CHARMS berfungsi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada masyarakat dan CUCMS sudah menjalankan program amal yang sama di Vietnam, Kemboja dan Filipina.

“Rawatan dijalankan adalah gabungan pendekatan moden dan Islam, malah semua ubat yang dibawa adalah halal dari Malaysia,” katanya.

Tingkat potensi pelajar

Dr Abdul Latiff berkata, pihaknya berharap program itu memberi pengajaran berguna kepada pelajar untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik selaras dengan nilai diterapkan oleh pihak kolej iaitu ‘memupuk semangat untuk menjaga’.

“Pelajar dijangka meningkatkan potensi mereka dan membina kekuatan seperti mental, fizikal, rohani dan emosi hasil daripada program ini. Sebagai satu pasukan, mereka juga perlu mempunyai persediaan yang cukup dari segi psikomotor, kemahiran kognitif dan kerjasama demi memainkan peranan masing-masing.

“Kerjasama yang ditunjukkan semua pelajar menjadi inspirasi dan kami sebagai tenaga pengajar gembira kerana dapat memupuk sifat ambil berat mengenai orang ramai dalam diri pelajar kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Dewan Dakwah Aceh, Dr Tgk H Hasanuddin Yusuf Adan MCL MA berkata, CUCMS menggunakan pendekatan Islam dalam amalan penjagaan kesihatan dan amalan yang sama juga digunakan di hospital di Aceh.

Malah, pihaknya juga sedang berusaha menerima pakai kaedah yang sama dalam masa terdekat dalam kalangan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2016 @ 5:03 AM