16 kategori dipertandingkan dalam acara penuh gilang-gemilang malam esok.
16 kategori dipertandingkan dalam acara penuh gilang-gemilang malam esok.
Ridzuan Abdul Rahman


Debaran semakin kencang di dada peminat dan penggiat industri nyanyian tanah air untuk mengetahui siapakah yang bakal memenangi kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22), malam esok.

Segala persoalan akan terjawab apabila AIM 22 yang dihoskan Manusia Paling Lucu Di Dunia, Harith Iskander dan Adibah Noor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula jam 9 malam esok.

Melihat kepada senarai 16 kategori yang dipertandingkan, AIM yang menggunakan slogan Kemuncak Segala-Galanya sememangnya menampilkan persaingan yang sengit.

Menambah kemeriahan, AIM kali ini turut memperkenalkan empat kategori baru berasaskan jualan dan populariti iaitu Lagu Muat Turun Paling Tinggi, Lagu Strim Paling Tinggi, Jualan Lagu Nada Dering Paling Tinggi dan Video Muzik Paling Popular di YouTube.

Tidak ketinggalan diperkenalkan, kategori anugerah baru pilihan ramai iaitu Penyanyi Pilihan Malaysia.

Jika dilihat secara kasar, kemenangan seakan-akan berpihak kepada penyanyi kesayangan ramai, Datuk Siti Nurhaliza yang mendahului senarai dengan tujuh pencalonan termasuk dua pencalonan untuk kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Persaingan sengit diperlihatkan menerusi pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Lelaki/ Wanita apabila nama besar bersaing sesama sendiri untuk meraih gelaran yang dipertaruhkan.

Siti dicabar Dayang Nurfaizah, Jac, Najwa Mahiaddin dan Nona dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Wanita dan hanya Dayang dilihat sebagai pencabar terkuatnya.

Bagaimanapun, peluangnya dilihat cerah untuk memenangi kategori ini.

Lagu Siti berjudul Menatap Dalam Mimpi ciptaan Aubrey Suwito dan lirik RoziSangDewi juga tercalon dalam kategori Lagu Pop Terbaik bersaing dengan Assalamualaikum (Faizal Tahir), Sedetik Lara (Hazama) dan Sejati (Faizal Tahir).

Kategori Album Terbaik pula melihatkan persaingan antara Siti serta Akim & The Majistret, Edry Abdul Halim (Mojo), Estranged dan Ajai (Black).

Faizal Tahir pula mendapat lima pencalonan dan saingan hebat diperlihatkan menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Lelaki bersaing dengan Akim, Hazama, Hazami dan Lah Ahmad.

Kemungkinan besar peluangnya untuk muncul pemenang amat cerah. Gandingannya dengan Elizabeth Tan menerusi lagu Setia mungkin membuka ruang untuknya memenangi kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu.

Pemenang anugerah Lagu Terbaik AIM 21, SonaOne pula menerima empat pencalonan termasuk dua lagu dalam kategori Lagu Hip Hop Terbaik.

Bagaimanapun, persaingan sengit diperlihatkan menerusi pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu Lelaki/Wanita apabila nama besar bersaing sesama sendiri untuk meraih gelaran yang dipertaruhkan.

Syamel pula dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi gelaran Artis Baru Terbaik yang turut membariskan Bella Nazari, De Fam, Lyia Meta dan Projektor Band.

Kumpulan nasyid NowSeeHeart dilihat berpeluang memenangi kategori Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Selawat UntukMu yang turut membariskan Back2Basixx (Senyuman), De Fam (#Supergirls), The Mikraj (Qod Kafani) dan Unic (Syamail Muhammadiah).

Kategori Lagu Nasyid Terbaik pula menyaksikan persaingan di antara lagu Cinta Sidna (Hafiz Hamidun), Hanya Namamu (Caliph Buskers), Maulaya (Lah Ahmad), Mikraj Cinta (Datuk Siti Nurhaliza) dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie).

Melihatkan pada populariti dan beberapa kejayaan yang dikecapi sebelum ini, tidak mustahil Daqmie mampu mengukir nama pada AIM kali ini.

Program gilang-gemilang AIM 22 akan menjanjikan satu malam bergemerlapan menerusi persembahan penyanyi ternama tanah air dan penyanyi baru termasuk Aiman Tino, Akim & The Majistret, Ameng, Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Hazama, Khalifah, Projector Band, Shamsul Yusof, Sakura Band, Sufian Suhaimi, SonaOne dan Yuna.

Persembahan yang menggabungkan pelbagai genre muzik termasuk pop, hip hop, rock dan balada pastinya akan memberikan satu kepuasan kepada penonton sepanjang siaran langsung selama dua setengah jam acara ini.

Barisan penyampai anugerah pula terdiri daripada Aaron Aziz, Amar Baharin, Amyra Rosli, Estranged, Datuk M Nasir, Forteen, Hafiz Suip dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:03 AM