Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Malam Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) menjadi milik penyanyi Datuk Siti Nurhaliza apabila dia memenangi lima kategori pada majlis yang diadakan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Selain Lagu Nasyid Terbaik menerusi Mikraj Cinta, Siti turut memenangi Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita) bagi lagu Menatap Dalam Mimpi, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Menatap Dalam Mimpi), Album Terbaik dan Anugerah Penyanyi Pilihan Malaysia.

Sementara itu, Faizal Tahir memenangi dua kategori iaitu Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik AIM22.

Anugerah Artis Baru Terbaik dimenangi oleh Syamel; Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Lelaki), Akim Ahmad; Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik di Dalam Lagu (De Fam); Persembahan Vokal Duo / Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu (Misha Omar & Hafiz Suip); Kulit Album Terbaik (Sekumpulan Orang Gila); Rakaman Album Terbaik (Froya); Video Muzik Terbaik (Stacy, Not For Sale) dan Lagu Pop Etnik Terbaik (Joget Sulam Sakti, Reena Nicky).

Sementara itu Lagu Rock Terbaik dimenangi oleh Mata Hati nyanyian Azlan & The Typewriter, Lagu Hip Hop Terbaik (Janji, Altimet & Takahara Suiko) dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Firefly, SonaOne).

Dalam pada itu Anugerah Kembara diberikan kepada penyanyi Yuna manakala anugerah Seri Wirama diberikan kepada Datuk Sheila Majid.

Anugerah turut dimeriahkan dengan persembahan artis seperti Syamsul Yusof, Rabbani, Hazama, Daly Filsuf, Sufian Suhaimi, Aiman Tino, Sakura Band, Projector Band, Khalifah, Yuna, SonaOne, Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Ameng dan Akim & The Majistret.

Majlis diacarakan oleh Harith Iskander dan Adibah Noor bermula 9 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 12:28 AM
SITI Nurhaliza memenangi lima kategori pada Anugerah Industri Muzik ke-22. FOTO Aziah Azmee
SITI Nurhaliza memenangi lima kategori pada Anugerah Industri Muzik ke-22. FOTO Aziah Azmee