Barisan Artis pada pengumuman 5 Calon Akhir Anugerah Industri Muzik (AIM 22).FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Barisan Artis pada pengumuman 5 Calon Akhir Anugerah Industri Muzik (AIM 22).FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Syanty Octavia Amry


Kuala Lumpur: Datuk Siti Nurhaliza mendominasi pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 Disember depan.

Menerusi album berjudul Datuk Siti Nurhaliza Unplugged, Siti tersenarai dalam enam kategori dan tujuh pencalonan antaranya ialah Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (untuk dua pencalonan) dan Album Terbaik.

Berkongsi perkara itu, Siti yang hadir pada majlis memperkenalkan lima calon akhir AIM22 berkata, dia bersyukur apabila tersenarai sebagai calon akhir AIM 22, tahun ini.

€œAlhamdulillah rezeki saya dicalonkan kali ini. Setiap orang yang menghasilkan album pastinya mahukan yang terbaik. Begitu juga dengan saya yang sentiasa memandang ke hadapan setiap kali AIM.

"Saya percaya pada rezeki dan semua orang berhak mendapat penghargaan dan malam itu nanti adalah penentu siapa yang layak," katanya.

Mengakui saingannya dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), yang turut mencalonkan Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Najwa Mahiaddin dan Nora, Siti berkata, masing-masing punya vokal yang tersendiri.

"Saya akui saingan sengit terutamanya Dayang, Jaclyn dan Najwa malah saya kagumi vokal mereka. Apa pun semuanya bergantung pada lagu yang dipertandingkan dan yang dipilih oleh juri," katanya.

AIM 22 akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Ria HD bermula jam 9 malam.

Anugerah itu menerima sebanyak 80 nama dalam 16 kategori yang dipertandingkan kali ini.

Pencalonan kali ini juga sangat menggalakkan iaitu 731 pencalonan berbanding 610 pencalonan pada AIM21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 7:43 PM