MOHD Zulkifli (dua kiri) berbasikal bersama peserta. FOTO Syafiq Ambak
MOHD Zulkifli (dua kiri) berbasikal bersama peserta. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tiga ratus peserta berbasikal dalam program 'Pagi Bebas Kenderaan' anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dalam usaha menggalakkan cara hidup yang lebih sihat dan mengurangkan pencemaran udara.

Datuk Bandar MBKT Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, ia adalah program pertama dilaksanakan MBKT membabitkan jarak sejauh tujuh kilometer bermula 7 hingga 9.30 pagi.

"Buat permulaan, ia akan dilaksanakan setiap Jumaat pada minggu kedua setiap bulan dan jika sambutan menggalakkan, kita berhasrat menganjurkan program ini pada setiap minggu.

"Kita yakin jumlah penyertaan akan meningkat kerana aktiviti berbasikal ini sememangnya sudah tidak asing bagi penduduk di Terengganu," katanya pada sidang media selepas program 'Pagi Bebas Kenderaan' anjuran MBKT di Dataran PBB, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zulkifli, pengguna kenderaan perlu menggunakan laluan alternatif untuk ke Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) melalui persimpangan kediaman rasmi Menteri Besar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail, persimpangan Tenaga Nasional Berhad, Jalan Cherong Lanjut dan Jalan Paya Keladi sepanjang program itu berlangsung.

"Kita jangka ia akan membabitkan kira-kira 200 kenderaan yang kebanyakan mahu ke PBKP dan jumlahnya dijangka berkurangan apabila masyarakat mula mengetahui program ini," katanya.

Aktiviti berbasikal itu membabitkan laluan bermula dari Dataran Pantai Batu Buruk (PBB) ke Primula Beach Hotel, Jalan Pantai, bangunan baru MBKT, Jalan Kampung Kolam, Jalan Sultan Ismail, Ladang sebelum kembali ke Dataran PBB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 10:42 AM