KERETA dinaiki dua penjenayah yang terbabas selepas ditembak polis. FOTO ihsan Polis
KERETA dinaiki dua penjenayah yang terbabas selepas ditembak polis. FOTO ihsan Polis
Muhammad Apendy Issahak


Kuala Kangsar: Dua penjenayah diberkas selepas kereta dinaiki terbabas akibat ditembak polis di Talang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, penjenayah berusia 30 dan 34 tahun berkenaan cedera akibat kemalangan selepas kereta mereka naiki terbabas merempuh tiang elektrik susulan ditembak polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, unit peronda polis (MPV) mengesan kereta dalam keadaan mencurigakan di persimpangan lampu isyarat di Talang dan kemudian mengarahkan pemandu kereta memberhentikan kenderaan.

"Kenderaan itu bagaimanapun memecut serta memasuki laluan bertentangan dan polis mengejar sebelum terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk memberhentikan kenderaan itu daripada membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Selepas kira-kira 20 minit adengan mengejar itu, kereta suspek terbabas dan melanggar tiang elektrik tepi jalan berhampiran sebuah kilang kayu Talang, sebelum polis berjaya tangkap dua lelaki dalam kenderaan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek, polis merampas beberapa bahan disyaki dadah iaitu serbuk dipercayai heroin seberat 8.69 gram dan bahan disyaki methamphetamine (syabu) seberat 0.95gram serta satu pil Eramin 5.

"Semakan mendapati kedua-dua suspek berasal dari Taiping dan ujian saringan awalan urin mereka dikesan positif dadah syabu.

"Pemeriksaan juga mendapati suspek berusia 30 tahun mempunyai lapan kesalahan lampau babit kes dadah, jenayah harta benda dan jenayah kekerasan, manakala suspek berusia 34 tahun mempunyai lima kesalahan lampau kes dadah dan jenayah kekerasan," katanya.

Ahmad Termizi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dari aspek penyalahgunaan dadah dan juga kes-kes jenayah serta kedua-dua suspek akan dipohon tahanan reman esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 10:46 PM