SUSPEK lelaki ditahan di hadapan Hospital Kuala Kangsar, malam tadi sebelum polis menemui sejumlah dadah, pistol mainan dan vest polis dalam kereta dinaikinya. FOTO ihsan pembaca.
SUSPEK lelaki ditahan di hadapan Hospital Kuala Kangsar, malam tadi sebelum polis menemui sejumlah dadah, pistol mainan dan vest polis dalam kereta dinaikinya. FOTO ihsan pembaca.
Muhammad Apendy Issahak


POLIS menahan seorang lelaki dan menemui sejumlah dadah serta sepucuk pistol mainan dalam kenderaan dinaiki suspek dalam kejadian di Jalan Raja Idris, berhadapan Hospital Kuala Kangsar, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, dua lelaki dalam keadaan mencurigakan menaiki sebuah kereta dan sebaik polis cuba menahan, suspek memecut laju kenderaan berkenaan.

Video dan gambar kejadian tular di media sosial dengan maklumat mengatakan berlaku berbalas tembakan antara polis dengan suspek dan suspek melarikan diri ke dalam kawasan hospital.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim ketika dihubungi bagaimanapun mengesahkan tiada kes tembakan berlaku.

“Hanya kes tangkapan seorang lelaki bersama kereta dan apabila diperiksa di dalam kereta dinaiki suspek, polis menjumpai sejumlah dadah dan sepucuk pistol mainan serta vest polis.

“Seorang lagi suspek melepaskan diri di kawasan Hospital Kuala Kangsar dan usaha mengesan sedang dibuat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, laporan lanjut mengenai kes berkenaan akan menyusul dan pihaknya menegaskan tiada kejadian berbalas tembakan berlaku.

Menurutnya, Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dipanggil untuk membantu siasatan.

Terdahulu tular di media sosial kejadian berkenaan dengan maklumat mengatakan berlaku kejadian tembak menembak antara polis dengan penjenayah membabitkan dua lelaki menaiki sebuah kereta.

Suspek enggan berhenti apabila cuba ditahan polis sebelum dikejar dan terhenti di hadapan Hospital Kuala Kangsar.

Kenderaan suspek dikatakan merempuh beberapa kenderaan lain dalam usaha melarikan diri dan suspek lari meninggalkan kenderaan ke arah kawasan hospital sebelum seorang berjaya ditahan dan usaha giat dilakukan bagi mengesan seorang lagi suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 1:55 AM