Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Malaysia dijangka sukar untuk mencapai sasaran eksport RM10 bilion bagi industri perabot menjelang hujung tahun ini berikutan pelbagai faktor semasa termasuk kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor terbabit.

Untuk lapan bulan pertama tahun ini, nilai eksport perabot tempatan adalah RM4.84 bilion.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihaknya mengakui faktor itu menjadi antara penyumbang utama kepada situasi itu yang membuatkan sesetengah syarikat perabot berhadapan kelewatan tempahan dan kerugian.

“Negara mungkin tidak dapat mencapai sasaran nilai eksport itu untuk tahun ini namun, saya optimis ia mampu dicapai pada tahun depan,” katanya pada media selepas pelancaran Pusat Reka Bentuk Tanggam (TDC) di sini, semalam.

Hadir sama adalah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Dr Jalaluddin Harun dan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk M Nagarajan.

Sehingga Ogos lalu, eksport perabot kayu mencatatkan nilai RM4.84 bilion di mana jumlah itu menunjukkan peningkatan 6.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja asing itu melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia yang baru saja melakukan rundingan dengan Bangladesh untuk membawa tenaga kerja asing ke Malaysia.

Menurutnya, usaha itu diharap membantu dalam mengurangkan permasalahan itu dan kebanyakan pemain industri perabot melihat perkara itu amat diperlukan memandangkan peningkatan permintaan terhadap produk perabot pada masa ini.

Industri perabot adalah komponen penting dalam sektor perkayuan negara di mana nilai keseluruhan eksport perabot meningkat 14 peratus kepada RM9.14 bilion pada 2015 berbanding RM8.01 bilion pada 2014.

Perabot kayu menyumbang 80 peratus daripada nilai keseluruhan eksport perabot pada tahun lalu dengan jumlah RM7.29 bilion dan negara menjangkakan nilai eksport perabot tempatan meningkat kepada RM16 bilion menjelang 2020.

Sementara itu, Mah merasmikan TDC yang dibangunkan MTIB di mana ia adalah pusat yang berperanan menjalankan aktiviti pembangunan reka bentuk produk berasaskan kayu terutama perabot.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 7:20 AM