INDUSTRI eksport sarung tangan getah Malaysia catat paras tertinggi dalam sejarah pada 2017.
INDUSTRI eksport sarung tangan getah Malaysia catat paras tertinggi dalam sejarah pada 2017.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Eksport sarung tangan getah di Malaysia mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan 19.4 peratus kepada RM15.9 bilion bagi 2017 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disokong pemulihan berterusan dalam pertumbuhan dan permintaan dunia.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, China salah satu daripada pasaran eksport paling pesat berkembang dengan pertumbuhan 250 peratus kepada RM906.9 juta pada 2017 berbanding RM362.2 juta pada tahun lalu.

Katanya, eksport sarung tangan getah Malaysia ke Jerman dan Jepun juga meningkat masing-masing kepada RM1.26 bilion dan RM1.1 bilion berbanding RM1.08 bilion dan RM820 juta pada 2016.

“Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai pasaran terbesar Malaysia bagi sarung tangan getah dengan pertumbuhan 24 peratus dan nilai eksport mencecah RM5.6 bilion bagi 2017 berbanding RM4.53 bilion pada 2016,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada masa ini, Malaysia pembekal terbesar dunia bagi sarung tangan getah dengan lebih 60 peratus penguasaan pasaran dunia daripada aspek kuantiti.

Beliau berkata, Malaysia dijangka terus mendominasi pasaran dunia bagi sarung tangan getah terutama untuk kegunaan sektor kesihatan berdasarkan prestasi eksport yang memberangsangkan tahun lalu.

“Pihak industri yakin mencapai sasaran 65 peratus penguasaan eksport dunia bagi sarung tangan getah pada 2020 di mana eksport sarung tangan getah dianggarkan 228 bilion unit tahun lalu dan ia dijangka meningkat kepada 287 bilion unit pada 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 12:42 AM