Reuters

Berlin: Robert Lewandowski (gambar) meledak dua gol sambil Arjen Robben menanduk masuk gol ketiga ketika membantu kebangkitan juara bertahan Bayern Munich sebelum menang 3-1 di Mainz 05 sekali gus merampas kedudukan selaku pendahulu Bundesliga.

Kelab gergasi Bavaria itu mengumpul 30 mata hasil 13 perlawanan dan menduduki tangga teratas berdasarkan kelebihan jaringan berbanding RB Leipzig yang akan melayan kunjungan Schalke 04 sambil pasukan di tangga ketiga Hertha Berlin bertandang ke VfL Wolfsburg.

Pemain antarabangsa Poland Lewandowski yang sudah meledak dua gol sepanjang empat aksi terakhirnya di Mainz, mencatat rekod baharu pasukannya apabila kembali menggegar gawang tuan rumah kelmarin.

“Ada kalanya kami tidak bermain baik seperti yang biasa kami lakukan di babak pertama,” kata pemain sayap Belanda Robben. “Kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol.”

Bayern ketinggalan selepas empat minit apabila penyerang Colombia Jhon Cordoba melepasi kawalan Javi Martinez sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol Manuel Neuer.

Lewandowski menyamakan kedudukan empat minit kemudian apabila menerima hantaran menarik Robben.

Thomas Mueller yang masih belum menjaringkan gol musim ini, berpeluang meletakkan pelawat di depan tetapi rembatannya diselamatkan penjaga gol tuan rumah Jonas Loessl.

Mueller membuat umpanan kepada Robben yang menewaskan Loessl untuk membolehkan pelawat mendahului pada minit ke-21.

Lewandowski menghasilkan gol kesembilan peribadinya musim ini ketika perlawanan hampir tamat.

Bayern kini melakar dua kemenangan berturut-turut selepas berdepan kekalahan pertama musim ini di tangan Borussia Dortmund, 19 November lalu.

Keputusan itu menyaksikan Mainz kekal di tangga kesembilan dengan 17 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2016 @ 5:07 AM