PEMAIN Bayern meraikan kemenangan mereka. -Foto AFP
PEMAIN Bayern meraikan kemenangan mereka. -Foto AFP
AFP

ATHENS: Gol daripada Javi Martinez dan Robert Lewandowski menyaksikan Bayern Munich merampas tangga teratas Kumpulan E Liga Juara-Juara susulan kemenangan 2-0 ke atas AEK Athens, awal pagi tadi.

Kemenangan di gelanggang lawan itu adalah yang kedua berturut-turut juara Jerman itu di pentas Eropah selepas mengharungi permulaan sukar musim ini.

Tersekat dengan corak permainan bertahan juara Greece itu menyaksikan Bayern hanya membuka tirai jaringan selepas sejam perlawanan berlangsung menerusi Martinez sebelum Lewandowski meledak gol kedua dua minit kemudian.

“Ia amat sukar, keadaan padang tidak bagus, kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama tetapi hantaran terakhir tersasar,” kata Arjen Robben.

“Kami mula menggunakan peluang kami selepas Javi memperoleh gol pertama, kamu dapat merasakan kelegaan itu. Ini kemenangan yang penting untuk kami.”

Bayern ketika ini menduduki tangga teratas kumpulan tetapi mengumpul mata yang sama dengan kelab Belanda, Ajax yang berjaya mengikat gergasi Jerman itu 1-1 pada aksi di Munich, tiga minggu lalu.

Ajax turut mengumpul tujuh mata selepas menewaskan kelab Portugal, Benfica di Amsterdam manakala AEK menghuni tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Bayern tidak pernah tewas di pentas Eropah di Greece, tetapi selepas menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan ketika menewaskan Wolfsburg 3-1 dalam saingan Bundesliga, Sabtu lalu, selera mereka mula bertambah.

Tuan rumah memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-20 menerusi penyerang Argentina, Ezequiel Ponce yang berjaya melepasi pertahanan Bayern, Mats Hummels tetapi rembatannya tersasar.

Ketika AEK tampak seakan memperoleh mata pertama mereka di pentas Eropah, Bayern meningkatkan permainan dan ia berhasil apabila Martinez menjaringkan gol separa voli pada minit ke-61 berpunca gerakan Hummels dan Robben.

Pelawat menggandakan kelebihan dua minit kemudian berpunca daripada gerakan Serge Gnabry dan Rafinha yang berjaya menemui Lewandowski yang tidak dikawal bagi memberikan kemenangan buat Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 8:05 AM