MUELLER (dua dari kiri)  menanduk masuk gol ketiga Bayern Munich. FOTO AFP
MUELLER (dua dari kiri) menanduk masuk gol ketiga Bayern Munich. FOTO AFP
AFP

Berlin: Bayern Munich menjarakkan kedudukan di puncak Bundesliga kepada tujuh mata selepas menang 4-0 ke atas kelab bawahan, Schalke 04 dengan Robert Lewandowski meledak jaringan dalam lapan aksi liga berturut-turut.

Bayern mengukuhkan kelebihan selepas pasukan di tangga kedua, RB Leipzig tewas mengejut 2-3 kepada satu lagi kelab bawahan, Mainz kelmarin.

Dengan hanya pasukan tunggal daripada tiga teratas yang mencapai kemenangan, juara Eropah, Bayern berada di landasan tepat merangkul gelaran Bundesliga kali kesembilan berturut-turut.

Thomas Mueller membuka tirai jaringan menerusi tandukan sebelum Lewandowski meledak gol kedua dari sudut sukar pada babak kedua untuk jaringan ke-23nya dalam 17 aksi liga musim ini.

Bayern mengganas lagi dengan dua jaringan pada dua minit terakhir menerusi tandukan Mueller sebelum David Alaba meledak rembatan kencang jarak jauh pada minit ke-90.

"Kami berjaya mendapat beberapa mata besar minggu ini walaupun ketika kami tidak berada pada tahap sebenar," kata Mueller kepada Sky.

Bayern meraih sembilan mata maksimum minggu lalu selepas hanya menang tipis 1-0 di Augsburg Rabu lalu dan 2-1 mengatasi Freiburg di tempat sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:46 AM