MENUNGGANG kuda di puncak Bromo.
MENUNGGANG kuda di puncak Bromo.
ROMBONGAN bergambar kenangan di lereng Gunung Bromo.
ROMBONGAN bergambar kenangan di lereng Gunung Bromo.
PEMANDANGAN di sekitar Pondok Pesantren Salafiyah.
PEMANDANGAN di sekitar Pondok Pesantren Salafiyah.
PEMANDANGAN di sekitar Pondok Pesantren Salafiyah.
PEMANDANGAN di sekitar Pondok Pesantren Salafiyah.
TERSERGAM indah Pondok Pesantren Salafiyah di Malang.
TERSERGAM indah Pondok Pesantren Salafiyah di Malang.
Oleh Mat Ishak Awang


Surabaya meninggalkan kenangan manis ketika kali pertama mengunjunginya pada 2006. Kunjungan kali kedua ini memberi kenangan lebih indah apabila bersempatan melawat pesantren setinggi 10 tingkat yang dibina dengan seni ukiran menakjubkan hasil tangan sepenuhnya. Lebih bermakna berkesempatan berada di padang pasir Savana di puncak Gunung Bromo.

Catatan perjalanan penulis bersama rakan-rakan bermula dari LCCT dengan penerbangan Mandala Air mengambil masa dua jam. Kami tiba di Lapangan Terbang Juanda pada jam 8.20 malam waktu tempatan disambut ustaz Azam dan Pak Alias dengan mesra sekali.

Kembara kami terdiri daripada sembilan orang diberi penginapan di Homestay Kampung Wisata Tani Temas. Di situ suhunya sejuk.

Hari kedua seawal pagi kami bangun menikmati udara segar. Kawasannya dikelilingi sawah padi dan pelbagai jenis sayuran diusahakan penduduk tempatan. Difahamkan padi di situ diusahakan tiga atau empat kali setahun kerana tanah yang subur dan kemudahan air mengalir sepanjang masa dari gunung. Kami turut dibawa ke Maahad Tarbiatul Quran tempat Ustaz Mohd Abdullah Azam Termizi Al Hafiz bertugas.

Bangunan tahfiz itu dalam pembinaan dan masih memerlukan bantuan daripada mereka yang ikhlas. Di situ kami disajikan dengan susu lembu segar dan roti. Selesai sarapan kami bergerak menuju ke air terjun Cuban Rondo.

Air terjun setinggi 84 meter itu dibuka sebagai tempat pelancongan sejak 1980. Kira-kira jam 10 pagi kami menuju ke Pondok Pesantren Salafiyah yang dianggap ajaib pernah dipaparkan menerusi TV3.

Pesantren ini terletak di Turen Daerah Malang. Kami lihat ribuan pengunjung dengan deretan kenderaan membanjiri kawasan pesantren itu. Tersergam indah dengan seni binanya yang boleh memukau sesiapa saja. Setiap dinding dihiasi ukiran ayat al-Quran manakala lantainya daripada marmar yang mahal dan berkualiti.

Kompleks pesantren yang memiliki 10 tingkat itu memenuhi semua keperluan masyarakat di kawasan berkenaan. Setiap tingkat mempunyai keperluan berbeza seperti ruang solat, kelas pengajian, istirehat, rumah Pak Guru turut disediakan. Tingkat 7 menempatkan gerai perniagaan seperti kompleks di kawasan bandar raya termasuk restoran untuk menjamu selera.

Satu tingkat digunakan untuk tanaman sayur-sayuran. Kami naik hingga ke tingkat ke 10. Terpegun kami kerana bumbung ini setinggi pucuk kelapa yang sudah tua sehingga buah dan daunnya mampu dicapai. Apatah lagi menara kubahnya lebih tinggi dari tingkat ini.

Mas Qiram, petugas di situ melayan kami dengan baik apabila kami memaklumkan bahawa kami dari Malaysia.

Katanya, dia rasa aman dan tenang fikirannya sejak ting­gal di sini. Mengikut penerangannya, kompleks itu adalah hak bersama dibina secara berperingkat sejak 1980-an.

Semua bekerja secara sukarela, sama ada suami atau isteri tetap memberi komitmen tinggi untuk bertugas melaksanakan apa-apa yang perlu. Sekarang, mereka menambah projek pembinaan tambahan.

Kami meninggalkan pasentren itu dengan beberapa persoalan. Perasaan hairan terbuku pada setiap pengunjung yang menyaksikannya.

Bagaimana mereka melaksanakan satu kompleks yang boleh dikira antara yang ajaib di dunia sedangkan pasantren ini terletak di kawasan pendalaman dan dibina tanpa peralatan moden.

Hari ketiga selepas kami menikmati sarapan pagi, kami menuju ladang epal serta menikmati buah dengan memetik sendiri. Boleh dimakan sebanyak mana yang kita suka secara percuma. Untuk dibawa pulang dikenakan RP20,000 (kira-kira RM8) setiap kikogram.

Kami sempat beramah mesra dengan pengutip epal di ladang berkenaan. Kira-kira jam 10 pagi kami bertolak ke Gunung Bromo. Kami cuba ikut jalan pintas melalui Bandar Nongko Jajar. Singgah menikmati bakso makanan istimewa orang Indonesia.

Di sini sempat kami membeli pakaian tebal untuk menghadapi cuaca sejuk di gunung nanti. Kami melalui jalan pintas yang sukar untuk sampai di Tosari kira-kira jam 7 malam. Kami menginap di banglo tiga bilik.

Disebabkan cuaca sejuk, selepas makan kami hanya berehat setelah kami diberitahu jam 3.30 pagi esoknya kami akan dibawa ke kawasan tertinggi tempat idaman setiap pelancong untuk melihat matahari terbit.

Hari keempat, jam 3.30 pagi kami didatangi dua pacuan empat roda untuk membawa kami ke Penanjakan. Sebanyak RP700,000 (RM200) dikenakan bagi sebuah jip untuk membawa kami pergi dan balik ke puncak Bromo. Bagi memasuki kawasan pergunungan, tiket dikenakan sebanyak RP72,500 (RM11) seorang.

Selepas menunaikan solat Subuh di Tosari, kami dibawa terus ke Penanjakan yang memiliki ketinggian 2,770 meter dari paras laut. Kami terpaksa menghadapi jalan yang berliku-liku lagi tajam di lereng gunung yang curam. Ketika menghampiri kawasan Penanjakan, berpuluh-puluh jip diletakkan di kiri dan kanan bahu jalan.

Sebaik tiba, kelihatan ramai pelancong merakam foto matahari terbit. Di Penanjakan, ramai manusia pelbagai bangsa beraksi dengan kamera masing-masing.

Merakam detik-detik perubahan matahari timbul dari aras laut sememangnya mengagumkan. Semua bertumpu ke arah matahari terbit. Matahari mula menampakkan dirinya. Pandangan sekitar mulai jelas kelihatan.

Subhanallah. Inilah dapat kami ucapkan sebaik melihat arah selatan. Kelihatan gunung yang tinggi kebiruan, Gunung Semeru (3,636 m dari paras laut), Gunung Batuk seperti kuih berlapis-lapis dan kami lihat Gunung Bromo (2,392 m) masih sedang mengeluarkan asap di mulut kawahnya.

Pemandangan dari Penanjakan ini sungguh indah sekali, belum pernah kami saksikan.

Di kaki Gunung Bromo, ada dataran yang ditutupi kabus putih. Kemudian kami menaiki jip semula untuk pergi ke kawasan itu. Rupa-rupanya kawasan yang ditutupi kabus putih itu ialah padang pasir atau savana.

Di atas gunung pun ada padang pasir. Daripada sumber yang diperoleh, permukaan lautan pasir Gunung Bromo adalah 2,100 meter dari permukaan laut, suhu udara di Bromo mencapai antara 3oC hingga 18oC dengan kelembaban 42% - 97%, manakala taburan hujan mencapai 160 milimeter - 1800mm setahun tahun.

Jip yang kami naiki terus meredah padang pasir savana kemudian ke kawasan padang rumput savana yang ditumbuhi oleh pokok bunga.

Kami tidak melepaskan peluang merakam video serta foto, selain bebas memetik bunga-bungaan.

Oleh kerana jip tidak dibenarkan menghampiri lereng Gunung Bromo, kami terpaksa menunggang kuda dengan bayaran sebanyak RP125,000 seorang untuk menghampiri anak tangga yang jaraknya hampir 1 kilometer.

Hati turut berdebar, apakah mampu menaiki anak tang­ga berjumlah 212 itu. Dengan semangat yang ada, kami berusaha walaupun perlahan-lahan untuk ke atas. Akhirnya kami berjaya melihat kawah gunung berapi yang aktif mengeluarkan asap dari perut bumi.

Berdiri di sini ibarat berada di tebing kawah yang tidak diketahui dalamnya di mana asap panas menjulang ke atas. Sesekali bau belerang memasuki rongga hidung.

Subhanallah , Maha Kaya Allah yang menciptakan sekalian alam. Selepas puas kami merakam gambar, kira-kira jam 11 pagi kami menuruni tangga dan menunggang kuda sekali lagi menuju jip.

Sampai di Tosari, kami bertolak pulang ke kawasan Ampel di Bandar Surabaya. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di kawasan lumpur yang masih memuntahkan laharnya sejak 2006.

Kini benteng sekatannya menjangkau 15 meter tinggi. Tidak ketinggalan, kami turut menyeberangi Selat Madura melalui jambatan Suramadu yang menghubungkan Pulau Jawa dengan Pulau Madura. Selepas membuat lawatan singkat kami menyeberang balik ke Pulau Jawa. Kami memilih hotel sederhana, Hotel Andalus. Cuaca di bandar agak panas berbanding empat hari di kawasan pergunungan.

Hari kelima kami menuju ke Tuban, di mana terletaknya Gua Akbar. Zaman dulu, Gua Akbar bernama Luweng Ombo, digunakan sebagai tempat pertapaan. Pada Januari 1998 Gua Akbar diperkenalkan oleh Bapak H Hindarto sebagai lokasi pelancongan di kawasan pantai utara Jawa Timur ini, selepas dibaik pulih.

Sekarang ini puluhan ribu pengunjung terpesona dan kagum terhadap keindahan alam Gua Akbar yang dirasmikan oleh Gabenor Jawa Timur, M Basofi Sudirman sebagai destinasi pelancongan terkenal di daerah itu.

Usai solat Zuhur di Masjid Agung Tuban, kami singgah di pusat perniagaan Ampel untuk membeli-belah sebagai oleh-oleh dari Surabaya.

Hari keenam, kami bersiap untuk pulang namun sempat menziarahi Masjid Nasional Al Akbar Surabaya yang mempunyai menara tinggi yang boleh meninjau persekitaran Surabaya.

Kemudian kami menziarahi Masjid Mohamad Cheng Ho yang menjadi tempat persinggahan Laksamana Cheng Ho ketika kunjungan ke Melaka dulu. Jam 12 tengah hari kami bertolak ke Lapangan Terbang Juanda untuk pulang ke tanah air. Sesungguhnya kembara kami kali amat bererti kerana pulang dengan membawa nostalgia yang terpahat seribu kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:02 AM