Lelaki yang menyamar sebagai doktor ditahan sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan Group United Against Crime
Lelaki yang menyamar sebagai doktor ditahan sebelum diserahkan kepada polis. FOTO ihsan Group United Against Crime
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan kerana menyamar sebagai doktor dan mengganggu pelawat yang menunggu pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 1 pagi tadi di Wad Bendahara HRPZ II.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

"Kejadian disedari seorang jururawat berusia 35 tahun sebaik dimaklumkan waris pesakit ketika suspek datang ke situ dan menghalaunya (tidak benar menunggu di situ).

"Waris terbabit memaklumkan kepada jururawat itu sebelum dia ke sana dan mendapati lelaki berkenaan bukan seorang doktor," katanya.

Beliau berkata, jururawat berkenaan memanggil pengawal keselamatan dan suspek ditangkap sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif sebenar suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

"Suspek direman hari ini sehingga Rabu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 4:58 PM