PENGURUS  Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan    Kim Swee berbincang pada sesi latihan.
PENGURUS Harimau Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) dan Kim Swee berbincang pada sesi latihan.

Yangon: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee yakin anak buahnya sudah bersedia melangsaikan misi di Yangon apabila membuat perhitungan dengan Myanmar dalam perebutan slot terakhir Kumpulan B ke saingan separuh akhir Piala AFF 2016.

Malah pemain Harimau Malaysia semakin bersemangat selepas kerajaan memberikan sokongan untuk mereka meneruskan perlawanan hari ini biarpun ada desakan supaya mereka menarik diri sebagai tanda bantahan kepada penindasan etnik Rohingnya.

“Saya menerima panggilan daripada Menteri Belia Dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) sebentar tadi mengenai keputusan itu dan beliau meminta semua pemain fokus terhadap perlawanan esok (hari ini).

“Saya berterima kasih kepada kerajaan atas tanda sokongan itu dan mahukan semua pemain lupakan apa yang berlaku sebelum ini,” katanya semalam.

Biarpun mengakui anak buahnya teruk ‘dikerjakan’ dalam cuaca panas sebelah petang pada dua perlawanan sebelum ini berbanding Myanmar yang bermain lewat, Kim Swee menyatakan mereka sudah membuat persiapan terbaik bagi perlawanan di Stadium Thuwunna hari ini.

“Saya tahu pemain masih belum dapat cergas sepenuhnya selepas bermain dua perlawanan jam 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia) dalam tempoh enam hari.

“Kami sudah membuat program pemulihan pemain dan apabila tiba waktu perlawanan esok (hari ini), saya percaya mereka akan kembali cergas dan cukup bersedia untuk beraksi,” katanya.

Kedudukan Harimau Malaysia untuk mencapai sasaran ke separuh akhir terancam kerana memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk mengiringi Vietnam ke pusingan kalah mati.

Malaysia pernah tumpas kepada skuad The White Angels 1-2 pada 2003 ketika kelayakan Sukan Asia 2004 dan selepas itu rekod banyak memihak kepada skuad kebangsaan dengan kemenangan besar 4-0 pada 2008.

Bagaimanapun kekuatan Myanmar sukar diduga selepas pertemuan terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Mei lalu.

Malah Kim Swee, 45, percaya pasukan lawan yang dikendalikan Gerd Zeise itu memiliki kelebihan apabila bermain di gelanggang sendiri.

Kira-kira 32,000 penyokong tuan rumah bakal memenuhi stadium tetapi Kim Swee percaya anak buahnya sudah biasa dengan suasana seperti itu.

“Di Malaysia, pemain sudah biasa bermain dengan penyokong ramai, saya percaya mereka boleh mengawal situasi dengan baik kerana yang penting fokus tanpa memikirkan suasana di luar padang,” jelasnya.

Dalam pada itu Kim Swee menyatakan situasi pemain sayap Syazwan Zainon dan pertahanan Ronny Harun untuk beraksi hari ini masih 50-50 selepas mengalami sedikit kecederaan ketika menentang Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2016 @ 5:03 AM