Pak Soh Kuen (kanan) tidak mengaku bersalah selepas didakwa memperdagangkan empat wanita warga Thailand untuk eksploitasi seks. FOTO Supian Ahmad
Pak Soh Kuen (kanan) tidak mengaku bersalah selepas didakwa memperdagangkan empat wanita warga Thailand untuk eksploitasi seks. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang pekerja tadika didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan memperdagangkan wanita untuk ekploitasi seks antara Mac hingga Ogos tahun ini.

Tertuduh, Pak Soh Kuen, 59, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohamad Tajuddin.

Dia didakwa memperdagangkan empat wanita warga Thailand, Suwanna Chankham, Duangjai Kanenok, Chinda Phonesaennok dan Natanicha Jaimoon bagi maksud eksploitasi seksual.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di Hotel Lucky, Jalan CM Yusof, di sini, bersama seorang lagi yang masih bebas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ikhmal Hishan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM20,000 iaitu masing-masing RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 7 Disember ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fauzi Mohd Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Mahinderjit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 3:05 PM