KAR Choon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
KAR Choon didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh tuduhan memperdagangkan tujuh wanita warga Thailand untuk dieksploitasi bagi aktiviti seksual di sebuah pusat terapi bekam di sini.

Tertuduh Fong Kar Choon, 28, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Kar Choon bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan perbuatan itu di No 39-39A, Pusat Terapi Bekam Kelly, Lapangan Symphony Business Park, Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukannya antara 29 Disember tahun lalu sehingga 15 Ogos lalu bermula jam 10 pagi hingga 2 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Indera Nehru kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM70,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh dan kes disebut semula 23 Disember ini.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 12:56 PM