BEBERAPA kereta di sebuah tempat letak kereta rosak berikutan gempa semalam.
BEBERAPA kereta di sebuah tempat letak kereta rosak berikutan gempa semalam.

Taipei: Satu gempa bumi kuat bawah laut yang berpusat antara Taiwan dan selatan Jepun semalam menyebabkan seorang penduduk terbunuh apabila rumahnya di luar bandar ini terbakar.

Gempa sekuat 6.8 magnitud mencetuskan amaran tsunami setinggi hampir satu meter di Jepun tetapi ditarik balik sejam selepas itu.

Gegaran kuat turut menyebabkan bangunan di bandar ini bergoyang dan orang ramai bergegas keluar ke jalan raya.

Seorang mangsa dilapor terbunuh dalam kebakaran rumah di Xinzhuang, pinggir Taipei yang berpunca daripada letupan kotak elektrik, kata agensi penyelamat dan kebakaran Taiwan.

Taiwan Central News melaporkan, mangsa yang maut itu berusia 84 tahun dan seorang mangsa turut cedera dalam kejadian berkenaan.

Rakaman daripada stesen televisyen Taiwan TBS, menunjukkan beberapa papan tanda dan lampu di bilik berita syarikat itu turut berayun-ayun.

Agensi Meteorologi Jepun pula berkata, pusat gempa dikesan di kawasan cetek di laut di timur Taiwan dan selatan Okinawa, Jepun.

Menurut agensi itu lagi, tiada tsunami dikesan.

Rakaman televisyen di kawasan berkenaan menunjukkan keadaan laut tenang tetapi sebagai langkah keselamatan pelajar sekolah di kawasan tanah rendah di pulau itu dipindahkan ke lokasi lebih selamat.

Jepun memandang serius risiko tsunami selepas bencana besar yang akibat gempa bumi kuat pada Mac 2011, membunuh lebih 18,500 penduduk.

Gempa bumi paling buruk melanda Taiwan yang berukuran 7.3 magnitud berlaku pada September 1999, mengakibatkan 2,415 orang terbunuh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:37 AM