Kota Bharu: Malaysia mencadangkan untuk menampilkan 100 syarikat kalangan anggota ASEAN yang berpotensi untuk dikembangkan menerusi Projek Pathfinder ASEAN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, Malaysia telah mengemukakan cadangan projek itu sempena pembentangan Galakan Pelaburan Rentas Sempadan ASEAN.

Katanya, setiap negara anggota akan memilih 10 syarikat yang berpotensi dan bersedia untuk mengembangkan perniagaan di rantau ASEAN.

“Cadangan projek ini adalah bagi mencari penyelesaian masalah yang dihadapi oleh syarikat yang ingin memperluaskan perdagangan di ASEAN dan jika kita boleh melakukannya sudah pasti kita akan memperoleh 100 permasalahan yang dihadapi oleh mereka.

“Setiap wakil yang dipilih oleh negara anggota inilah yang akan membuka jalan kepada syarikat lain, sekali gus membolehkan ASEAN mempunyai 100 syarikat cemerlang untuk dicontohi,” katanya kepada media sempena Pemukiman Menteri Ekonomi ASEAN ke-21, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:22 AM