JEFF Immelt.
JEFF Immelt.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: General Electric, syarikat konglomerat industri digital global yakin dengan pasaran Malaysia yang menjadi penyumbang kepada hasil perolehannya di rantau ASEAN.

Malah, syarikat terkemuka dunia itu turut melihat ASEAN sebagai kawasan yang paling dinamik dan rantau terbesar di dunia yang mampu memberi kesan kepada perkembangan ekonomi dunia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeff Immelt berkata, syarikat mempunyai kedudukan yang kukuh menerusi beberapa sektor termasuk industri minyak dan gas serta penerbangan.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai ketua pegawai eksekutif terbaik global sebanyak tiga kali berkata, dengan kekuatan 1,400 orang kakitangan di Malaysia, ia jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah pasaran yang penting bagi operasinya di pasaran ASEAN.

“GE mempunyai persekitaran operasi yang baik di Singapura, Indonesia, Vietnam selain turut menjalankan operasi di Myanmar. Malah Thailand juga adalah antara wilayah yang besar bagi kami. Justeru saya berpendapat bahawa setiap rantau di ASEAN mempunyai kepentingan tersendiri untuk syarikat.

“Bagi Malaysia pula, ia bertindak sebagai penyumbang pendapatan ketara kepada GE dan kami mempunyai pelanggan yang berpotensi dari negara ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Kumpulan Media Prima, di sini.

GE, sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat sudah membina empayar sejak 140 tahun lalu serta mempunyai lebih 300,000 pekerja di seluruh dunia.

Ketika ditanya pandangannya berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), beliau berkata, sebagai syarikat yang menyokong kepada globalisasi, pihaknya percaya perdagangan memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, perjanjian itu mungkin tidak mendapat perhatian di Amerika Syarikat pada hari ini, walau bagaimanapun, TPPA dilihat mampu menjadikan negaranya lebih baik pada masa akan datang.

“GE boleh menjalankan operasi biarpun tanpa TPPA namun kerjasama dengan Malaysia masih diperlukan terutama membabitkan isu keselamatan dan perdagangan ekonomi.

“Melihat pandangan daripada sudut sebagai sebuah negara dan bukannya sebuah syarikat, kami berasakan kami akan menyesal jika tidak dapat mencari jalan untuk meluluskan TPPA,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai prestasi ekonomi, Immelt berkata, semua pihak di negara ini tidak perlu menunggu sehingga persekitaran ekonomi global kembali stabil sepenuhnya untuk mencapai kejayaan sama ada daripada aspek ekonomi atau rakyat.

“Perlu diingat, sekiranya kita menunggu untuk sesuatu perkara itu menjadi sempurna, ibaratnya anda akan menunggu untuk selama-lamanya, tetapi jika anda dapat melihat ketidakstabilan persekitaran sebagai peluang, segala-galanya di luar sana akan berada dalam genggaman anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:32 AM