PENG Soon (kiri), Liu Ying yakin mampu lakar kebangkitan di Hong Kong.
PENG Soon (kiri), Liu Ying yakin mampu lakar kebangkitan di Hong Kong.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Janji bangkit. Selepas tersungkur pada pusingan pertama Terbuka China, beregu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tekad untuk mempamerkan aksi cemerlang pada Terbuka Hong Kong minggu ini.

Menurut Liu Ying, mereka tetap memberikan aksi terbaik walaupun tumpas pada pusingan pertama di tangan gandingan Zhang Nan-Li Yinhui di China minggu lalu.

“Saya rasa permainan kami masih lagi bagus, kerana Peng Soon baru pulih daripada kecederaan. Lagi pun lawan kami ketika itu memang kuat dan berjaya mara ke perlawanan akhir,” kata pemain dari Melaka itu.

Jelasnya, undian pada Terbuka Hong Kong memang lebih sukar berbanding China namun dia berjanji untuk memberikan aksi terbaik.

“Memang kami berharap untuk bangkit semula dan akan buat yang lebih baik,” kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Peng Soon-Liu Ying, yang diletakkan sebagai pilihan keempat akan berdepan Yoo Yeon Seong-Chang Ye Na dari Korea Selatan.

Jika menang, mereka akan berdepan sama ada Zhang Nan-Huang Dongping (China) atau Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanahcai (Thailand) pada pusingan kedua.

Turut beraksi pada Terbuka Hong Kong satu lagi pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang akan berdepan Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo dari Jepun pada pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:11 AM