PENG Soon (kiri) dan Liu Ying tewas di Terbuka Indonesia.
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying tewas di Terbuka Indonesia.

Kuala Lumpur: Tiada lagi kejutan. Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama, Zhang Nan-Zhao Yunlei apabila tumpas pusingan pertama Terbuka Indonesia, semalam.

Peng Soon-Liu Ying yang sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Rio tumpas 17-21, 18-21 di Istora Gelora Bung Karno.

Menurut Liu Ying, walaupun mereka sudah memberikan aksi sebaik mungkin namun perlu mengakui banyak perkara perlu diperbaiki lagi terutama dari segi permainan konsisten.

“Saya akui bukan senang untuk mematikan pukulan mereka, paling penting kami harus banyak bersabar jika bertemu lagi,” kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kekalahan berkenaan menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan itu kini 1-10 dengan kemenangan tunggal Peng Soon-Liu Ying pada separuh akhir Terbuka Malaysia April lalu.

“Selepas ini kami akan menumpukan perhatian bagi Terbuka Australia pula. Kalau boleh kami mahu bermain baik kerana berdasarkan undian kami mampu ke suku akhir tapi perlu berhati-hati di pusingan kedua,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Di Terbuka Australia nanti Peng Soon-Liu Ying dijangka tidak berdepan masalah memenangi pusingan pertama apabila berdepan pemain tuan rumah, Robin Middleton-Leanne Choo, namun di pusingan kedua mereka dijangka berdepan pasangan Hong Kong Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah.

Sementara itu empat pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Zulfadli Zulkiffli dan Goh Soon Huat akan memulakan aksi mereka hari ini.

Chong Wei akan berdepan Sameer Verma dari India, manakala Iskandar bakal diuji perseorangan Jerman, Marc Zwiebler dan Zulfadli pula bakal melalui halangan sukar menentang pilihan ketiga dari China, Lin Dan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:21 AM